AZEEM tersenarai ke Olimpik Paris.
AZEEM tersenarai ke Olimpik Paris.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Teka-teki siapa mewakili Malaysia dalam sukan olahraga akhirnya terjawab apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan sebulat suara memilih jaguh pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi bagi mengisi slot 'wild card' di Sukan Olimpik Paris.

Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, Azeem dan Shereen Samson Vallabouy mempunyai pencapaian terbaik dalam acara masing-masing untuk dipilih selaku wakil negara.

Namun Jawatankuasa Pemilihan Atlet KOM perlu membuat keputusan berdasarkan kuota yang diberikan oleh Olahraga Dunia (WA).

"Mereka ada kelebihan dan akhirnya keputusan terbaik adalah tawaran wild card itu sendiri. Sebab kalau kita tidak memilih 100m, kita akan menghadpai masalah kerana kedua-dua ini bukan kelayakan tapi ini adalah tawaran kepada negara yang tidak berjaya menghantar atlet yang layak (secara merit)."

"Pihak KOM sudah bermesyuarat semalam dan memilih memutuskan wild card 100m ini diberikan kepada Muhammad Azeem Fahmi," katanya.

Sebelum ini, KOM dilihat seperti 'dilema' untuk memilih sama ada Azeem atau pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy apabila slot ditawarkan itu adalah acara 100m, 800m dan Maraton.

Untuk rekod, Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100m dengan catatan 10.09 saat (s) dan menunjukkan prestasi membanggakan sama ada ketika mewakili Malaysia mahupun mewakili Universiti Auburn.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 6:49 PM