ATLET Sabah, Andre Anura@Anuar beraksi dalam acara lompat kijang. FOTO Muhaizan Yahya
ATLET Sabah, Andre Anura@Anuar beraksi dalam acara lompat kijang. FOTO Muhaizan Yahya
Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosli 


ATLET lompat kijang Sabah Andre Anura@Anuar muncul atlet keempat mencatat rekod baru kejohanan di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak di Ipoh, hari ini. 

Andre melakukan lompatan emas pada percubaan terakhir dengan catatan 15.91 meter meleburkan rekod 10 tahun milik Ahmad Firdaus di SUKMA Terengganu 2008, 15.75m.

Pingat perak acara itu milik atlet tuan rumah Lau Jit Sung, 15.44m dan gangsa milik Muhamad Nazri Mustafa dari Kedah, 15.12m.  

Andre yang berlatih di bawah bimbingan Ahmad Firdaus Salim berkata, kemenangannya itu tidak mudah apabila dia hampir gagal melayakkan diri ke pusingan akhir. 

"Pada mulanya saya yakin mampu untuk memecahkan rekod kerana sebelum ini ketika sesi latihan saya pernah mencipta 15.95m. 

"Tapi selepas dua lompatan awal saya dibatalkan dan sekiranya lompatan ketiga juga batal, saya akan gagal ke pusingan akhir. 

"Ketika itu lawan saya iaitu Jit Sung sudahpun berjaya melakukan lompatan 15.44m dan ia mula membuatkan saya tertekan. 

"Saya cuba bertenang, berusaha mendapatkan rentak dan mujur percubaan kali ketiga tidak dibatalkan," katanya. 

Terdahulu, Andre berjaya meraih pingat perak dalam acara lompat jauh yang berlangsung semalam. Dia tewas kepada juara paralimpik negara, Abdul Latiff Romly dan kemenangan dalam acara lompat kijang ini memberi semangat buat dirinya terus mengorak langkah dalam acara lompatan. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 3:21 PM