HAKIMI Ismail. FOTO arkib NSTP
HAKIMI Ismail. FOTO arkib NSTP
Aida Adilah Mat


JAGUH lompat kijang negara, Hakimi Ismail tidak terlintas untuk menukar acara kepada lompat jauh biarpun beraksi dalam acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Innotex di Bukit Jalil, hari ini.

Aksi pemegang rekod kebangsaan acara lompat kijang itu bagaimanapun tidak mengecewakan apabila  berjaya meraih pingat perak dalam acara lompat jauh dengan catatan 7.17m.

Dia tewas kepada jaguh lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan yang melakukan lompatan sejauh 7.40m manakala gangsa milik Muhammad Raihan Ali (7.12m).

Kata Hakimi, penampilannya dalam acara itu hanya sekadar untuk mencari rentak larian selain merasai suasana pertandingan.

"Oleh kerana acara lompat kijang tidak dipertandingkan, jadi saya sertai acara lompat jauh. Ia hanya sekadar suka-suka dan bukannya serius biarpun pernah menyertai acara lompat jauh di SUKMA (Sukan Malaysia) sebelum ini.

"Penyertaan saya ini juga sebagai persediaan untuk menyertai AUG (Kejohanan Universiti ASEAN) di Myanmar pada bulan depan berikutan tidak banyak pertandingan ketika ini," katanya.

Mengulas mengenai sasarannya di AUG, Hakimi berkata, dia tidak meletakkan sasaran berikutan masih lagi dalam proses mendapatkan rentak pertandingan.

Biarpun aksinya di AUG tidak pernah mengecewakan apabila pernah menghadiahkan pingat emas ketika AUG Laos dan Palembang serta pingat perak di AUG Singapura, Hakimi berkata, semuanya bergantung ketika hari pertandingan.

"Susah untuk cakap peluang mendapatkan pingat. Semuanya terpulang pada hari pertandingan kerana ia membabitkan banyak faktor.

"Tapi ia bukan misi yang mustahil cuma saya perlu buat yang terbaik dan fokus kepada teknik larian dan lompatan," katanya yang akan membuat penampilan keempat di AUG.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 8:46 PM