PAUL San ketika beraksi pada hari terakhir Kejohanan Jelajah Toyota di Saujana Golf & Country Club hari ini. FOTO BERNAMA
PAUL San ketika beraksi pada hari terakhir Kejohanan Jelajah Toyota di Saujana Golf & Country Club hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Subang Jaya: Pemain golf profesional negara, Paul San dan Galven Green berjaya meraih slot jemputan untuk berentap di Jelajah Asia tahun depan, selepas berkongsi kedudukan keempat di Kejohanan Jelajah Toyota 2023 yang berakhir hari ini.

Hari terakhir Kejohanan Jelajah Toyota 2023 yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club di sini, menyaksikan Paul mencatat tiga bawah par 69 manakala Galven mencatat dua atas par 74.

Paul dan Galven menamatkan saingan keseluruhan di tempat keempat bersama pemain Thailand, Newport Laparojkit dengan catatan lapan bawah par 280 selepas empat hari kejohanan bermula Rabu lalu.

Tempat pertama disambar pemain Thailand Suttinon Panyo selepas merekodkan 15 bawah par 273, manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik pemain India Khalin Joshi dan pemain Thailand Witchayanon Chothirunrungrueng, masing-masing dengan 276 dan 279 pukulan.

Paul ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan perlawanannya selama empat hari di kejohanan itu meskipun sekadar menghuni tempat kelima teratas, kerana menyifatkan lokasi kejohanan merupakan salah satu padang yang mencabar baginya.

"Kejohanan terakhir bagi tahun ini akan berlangsung pada 29 Nov-2 Dis di Saudi Aramco. Saya cuba yang terbaik untuk dapatkan kelayakan Jelajah Asia untuk tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir Jelajah Toyota 2023, di sini hari ini.

Sementara itu, Galven pula berkata tekad untuk menghuni tempat pertama di kejohanan Saudi Aramco, selain menyasarkan untuk berentap di Jelajah Eropah bersama abangnya Gavin Green.

Mengikut ketetapan Jelajah Asia, pemain yang berjaya menamatkan Kejohanan Jelajah Toyota di kelompok enam teratas akan mendapat tiket untuk berentap di Jelajah Asia atas tiket jemputan.

Kejohanan Jelajah Toyota merupakan jelajah terakhir Jelajah Toyota yang diiktiraf Jelajah Pembangunan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 9:10 PM