AZEEM dijadual sertai final jam 9.30 malam ini.
AZEEM dijadual sertai final jam 9.30 malam ini.
Asrol Awang


Kuantan: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi layak ke final 100 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini , malam ini. 

Kejayaan pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu selepas disenaraikan dalam lapan atlet terbaik apabila mencatat masa 10.39 saat pada separuh akhir, petang ini. 

Turut layak, Jonathan Nyepa yang  mencatat masa 10.49s dan semua altet dijadualkan berentap pada jam 9.30 malam ini. 

Berbanding dalam acara 200 meter semalam, impian Azeem yang berusia 20 tahun untuk layak ke final acara itu tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan selepas melakukan `false start' pada separuh akhir. 

Azeem kemudiannya menjelaskan pembatalan itu bukannya disebabkan mahu memberikan tumpuan kepada acara kegemaran 100m hari ini, sebaliknya ia berlaku di luar kawalannya. 

Dia yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaiknya musim ini ialah 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu. 

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukannya mencatat 10s untuk layak secara merit pada temasya sukan terbesar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:55 PM