JAGUH pecut negara, Muhammad Azeenm Fahmi. FOTO ARKIB NSTP
JAGUH pecut negara, Muhammad Azeenm Fahmi. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Harapan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 tidak pernah pudar walaupun hanya berbaki beberapa bulan saja sebelum temasya itu membuka tirainya penghujung Julai ini.

Azeem berkata, peluangnya untuk ke temasya itu masih lagi terbuka dan perlu membuktikan diri pada Kejohanan Olahraga SEC di Gansville, Florida, Amerika Syarikat (AS) bermula esok.

Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) itu menyifatkan kejohanan itu adalah peluang untuk dia merakam masa yang lebih baik.

"Satu lagi peluang untuk menghasilkan keputusan lebih baik, minggu SEC. Bismillah," tulis Azeem menerusi ciapan di Twitter miliknya, semalam.

Pada aksi di Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Baton Rouge, Los Angeles, 27 April lalu, Azeem merekodkan masa peribadi terbaik musim ini iaitu 10.24s untuk menduduki tempat ke-12 keseluruhan.

Bagaimanapun, catatan berkenaan tidak diiktiraf disebabkan bantuan angin.

Keputusan itu menyaksikan catatan 10.31s yang dilakukan ketika menduduki tempat ketiga di Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama pada 21 April lalu kekal sebagai catatan peribadi terbaiknya musim ini.

Pada Kejohanan Olahraga Yellow Jacket di Georgia Tech, Atlanta, Mac lalu, Azeem meraih gangsa dengan catatan 10.38s.

Dia selepas itu sekadar mencatat 10.44s di Kejohanan Olahraga Jemputan Tom Jones Memorial 2024 di Gainesville, Florida, seminggu selepas itu untuk berada di kedudukan ke-22 dalam kalangan 75 peserta keseluruhan.

Bagi melayakkan diri secara merit ke Paris 2024, Azeem perlu mencatat masa sekurang-kurangnya 10s.

Sekiranya penuntut Universiti Auburn di Alabama itu gagal melakukan catatan 10s, dia masih berpeluang ke ke Olimpik menerusi kedudukan ranking.

Azeem ketika ini berada di kedudukan ke-44 ranking kelayakan ke Paris 2024 dengan dia perlu berada dalam kelompok 56 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 5:32 PM