PEKAN (kiri) berkata kontinjen olahraga adalah antara penyumbang utama pencapaian pingat emas di AUG 2022. FOTO Ihsan Sukan IPT
PEKAN (kiri) berkata kontinjen olahraga adalah antara penyumbang utama pencapaian pingat emas di AUG 2022. FOTO Ihsan Sukan IPT
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Kontinjen olahraga mensasarkan membawa pulang 15 pingat emas dalam Sukan Universiti Asean (AUG) ke-21 di Surabaya-Malang Indonesia 2024 yang bakal berlangsung dari 25 Jun hingga 6 Julai nanti.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Pekan Ramli berkata, keyakinan itu berdasarkan analisis prestasi atlet olahraga yang kini menyertai Varsity Track & Field 2024 (Siri 2) Stadium Kluang sejak Jumaat lalu.

"Berdasarkan pencapaian setakat 2 sirkit ini, kita dapat melihat dari segi momentum, prestasi atlet kita berdasarkan catatan peribadi terbaik mereka, nampaknya dari 40 atlet AUG yang bertanding di sini dan yang akan menganggotai kontinjen kita ini, nampak satu perkembangan yang sangat positif, itu yang penting.

"Sudah boleh katakan persiapan sudah 100 peratus, pengurus olahraga pasukan kita, Malik Tobias sasarkan sekurang kurangnya 10 pingat emas tetapi saya yakin dengan persiapan yang kita ada ini kita mungkin akan dapat di antara 10 hingga 15 pingat emas.

"Itu kita harapkan sebab kita percaya dari analisis yang kita buat antara yang berpotensi pingat emas dan 50-50 pingat emas.

"InsyaAllah kita boleh mencapai sasaran itu dan kita berdoa semoga tidak berlaku sebarang kecederaan kepada atlet kita untuk menghadapi AUG nanti," katanya.

Beliau berkata, kontinjen olahraga adalah antara penyumbang utama pencapaian pingat emas di AUG 2022 dahulu dengan merangkul 11 pingat emas.

"Kita memang berharap sangat penyertaan atlet atlet utama kita di AUG, umpama Azreen Nabila, Nani Shahira, Andre Anura, Sheeren Samson Vallabouy, Azeem Fahmi, Umar Usman, itu semua atlet kebangsaan yang kita harap dapat menyerlah di AUG," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, enam rekod kejohanan berjaya diperbaharui pada kejohanan Varsity Track & Field 2024 (Siri 2) kali ini.

Katanya, penganjuran kejohanan itu bertepatan dengan hasrat KPT yang mahu memperkasakan sukan olahraga negara sekali gus memberi jaminan kerjaya kepada atlet untuk terus menceburi bidang sukan dan berbakti kepada negara.

"Hasrat Kementerian Pengajian Tinggi nak memperkasakan sukan olahraga dan dalam masa sama kita nak menunjukkan bahawa atlet atlet terutama yang masih berada di peringkat sekolah termasuk di sekolah sekolah sukan, supaya mereka nampak bahawa sukan olahraga ini meriah dan berkembang.

"Kita harapkan mereka ini akan melanjutkan pelajaran iaitu atlet negeri, Sukan Malaysia (Sukma) dan sedia ada ke institut pengajian tinggi.

"Transformasi sukan olahraga yang kita buat ini memberikan satu platform untuk mereka meningkatkan prestasi mereka, bukan lagi sukan olahraga yang diadakan setahun sekali.

"Mereka boleh menjadikan kerjaya atlet olahraga ini satu persiapan sepanjang tahun dan mereka boleh meletakkan hala tuju untuk memperbaiki catatan peribadi dan seterusnya mewakili universiti Malaysia ke peringkat kebangsaan dan mewakili negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:42 AM