NURUL Ashikin  (dua dari kiri) menang emas acara jalan kaki 5,000m.
NURUL Ashikin (dua dari kiri) menang emas acara jalan kaki 5,000m.
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Atlet kebangsaan, Nurul Ashikin Hussin, 23, berjaya meraih pingat emas acara jalan kaki 5,000 meter dalam Kejohanan Varsity Track & Field 2024 (Siri 2) di Stadium Kluang, hari ini.

Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah itu mencatat masa 28:41.62 saat meninggalkan pencabarnya Putri Yasmin Mohd Pisol dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat kedua dengan catatan masa 28: 52.18 saat.

Tempat ketiga dan keempat milik Nurul Alya Haziqah Kamarazaman dan Ummu Fatin Najihah Zahidi dari Universiti Putra Malaysia dan tempat kelima milik Nur Ilyana Hazmi dari UPSI.

Nurul Ashikin ketika ditemui berkata, dia berharap dapat menempah tiket untuk mewakili negara ke Sukan Sea di Thailand pada tahun depan.

"Saya akan menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia pertengahan Jun ini untuk acara jalan kaki 20,000 meter selain 21st Asean University Games di Surabaya-Malang Indonesia nanti dalam acara sama.

"Sebelum ini saya pernah menang emas Kejohanan Terbuka Malaysia dan mewakili Malaysia ke Sukan Se Hanoi Vietnam pada Mei 2022.

"Namun ketika itu saya mencatat 2 jam 01 saat dan berada di ranking keempat dan dengan pertandingan yang saya sertai, harapan saya mahu pecah rekod peribadi 27. 41S dan juga mewakili negara ke Sukan Sea di Thailand 2025," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Ashikin Abas, atlet kebangsaan mewakili UPM menang pingat emas acara lompat jauh dengan catatan 5.74 meter meninggalkan rakan sepasukan R Kirthina, bekas atlet kebangsaan di tempat kedua dengan catatan 5.52m dan Nurul Nazifah Abd Wahab dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di tempat ketiga dengan catatan 5.14m.

Turut berlangsung acara kalungan pingat kepada atlet lempar cakera kebangsaan, Queenie Ting Kung Nie dari UPM yang meraih emas dengan catatan 47.02m.

Tempat kedua pula milik Hani Sahiran Maryata dari UPM dengan catatan 37.26m dan ketiga milik Nor Syazwani Rosman dari UPNM dengan catatan 33.10m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 5:23 PM