Datuk Ariah Tengku Ahmad
Datuk Ariah Tengku Ahmad
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ariah Tengku Ahmad, 86, yang juga wanita pertama dilantik ke jawatan itu, meninggal dunia pagi tadi.

Berita itu dikongsikan anaknya yang juga seorang peguam terkenal di Sabah, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad.

"Al-Fatihah, dengan rasa sedih yang mendalam, saya mengumumkan pemergian ibu tercinta, Datuk Ariah Tengku Ahmad yang meninggal dunia di kediamannya hari ini, 16 Jun 2024.

"Ariah dikenali sebagai Irene Pritchard dalam kalangan rakan rapatnya adalah isteri kepada Almarhum Brig Gen Tunku Ahmad Tunku Besar Burhanuddin, ibu kepada Fuad, ibu mentua Shirley dan nenek kepada Adam, Alexander dan Anthony," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tengku Fuad berkongsi, kehidupan ibunya dicirikan sebagai satu daripada perbezaan dan perkhidmatan, pernah berkhidmat dalam pelbagai bidang sepanjang hayatnya.

"Dia menjadi kapten Jesselton Athletics Team, dimahkotakan sebagai Miss Jesselton 1956, pernah menjadi penyampai radio, wartawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang, Menteri Perkhidmatan Sosial dan Timbalan Ketua Menteri.

"Tapi di sebalik semua itu, beliau adalah seorang ibu dan nenek yang menakjubkan yang kami semua sayang dan akan rindui.

"Sesungguhnya kita milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali. Semoga Allah merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya di Jannatul Firdaus dalam kalangan para solihin," katanya.

Allahyarhamah Ariah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 1993, di bawah kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Ketika itu beliau adalah Adun Kawang yang disandangnya sejak 1986 hingga 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 2:47 PM