NATASHA menjual biskut raya pada Syawal kali ini. FOTO NATASHA MOHAMED ROSLAN
NATASHA menjual biskut raya pada Syawal kali ini. FOTO NATASHA MOHAMED ROSLAN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Di sebalik tangan yang menghayun bola boling, rupanya mampu untuk menghasilkan biskut raya berkualiti.

Atlet boling negara, Natasha Mohamed Roslan seperti biasa tidak melepaskan peluang untuk meneruskan minatnya membuat biskut terutama apabila berpeluang menyambut Ramadan dan Syawal di Malaysia.

Menurutnya, pembuatan biskut raya yang bermula sejak 2021 iaitu ketika negara terpaksa berkurung disebabkan Covid-19, sudah mula dijual kepada orang ramai dan ia memerlukan juara dunia 2023 itu membahagikan masa sebaik mungkin.

"Saya mula buat biskut ini pada 2021, masa Covid-19 dan selepas itu saya berhenti sekejap. Kali ini mula semula buat dan penat juga sebenarnya. Saya masih melakukan latihan di gimnasium dan selepas itu mengambil waktu malam saya untuk buat biskut sampai ke pagi," katanya.

Ujar atlet berusia 28 tahun itu, dia perlu membahagikan masa antara latihan dan juga menyiapkan tempahan biskut namun semua itu berjaya dilaksanakan atas sebab minat mendalam.

"Kebiasaanya jadual latihan adalah di sebelah pagi, jadi saya akan buat biskut selepas waktu berbuka sehinggalah pada jam 1 pagi dan selepas itu berehat.

"Masa Covid-19 itu, saya memang secara sepenuh masa di rumah, jadi ada jual hampir 800 botol yang kesemuanya saya buat adalah biskut 'chocolate chip'," katanya.

NATASHA akan menyertai Kejohanan Antarabangsa Klasik Sonic dari 18 hingga 21 April ini. FOTO FERZALFIE FAUZI
NATASHA akan menyertai Kejohanan Antarabangsa Klasik Sonic dari 18 hingga 21 April ini. FOTO FERZALFIE FAUZI

Ditanya mengenai kalendar kejohanannya tahun ini, dia dan pasukan akan ke Singapura untuk kejohanan pertama mereka iaitu di Kejohanan Antarabangsa Klasik Sonic dari 18 hingga 21 April ini.

Natasha yang meraih gelaran dunia selepas menewaskan rakan senegara Sin Li Jane dalam acara individu di Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada Oktober tahun lalu turut berkata, fokus utama pada musim ini adalah di Kejohanan Asia di Bangkok, Thailand, September ini.

"Selepas raya, saya dan pasukan akan ke Singapura untuk kejohanan pertama kami dan selepas itu ada beberapa kejohanan terbuka. Pada tahun ini, fokus kami adalah tertumpu kepada Kejohanan Asia.

"Saya rasa sebelum jadi juara dunia pun, tekanan itu sudah ada. Apabila merangkul gelaran, ia bertambah (tekanan) tetapi saya mengambilnya sebagai satu cabaran untuk buat lebih baik dan buktikan yang saya boleh kekalkan gelaran juara dunia serta sentiasa mengekalkan momentum saya," katanya.

Gelaran dunia diraih Natasha pada tahun lalu itu menamatkan kemarau pingat emas 12 tahun Malaysia dalam acara individu dengan kali terakhir dilakukan Jacqueline Sijore pada tahun 2011 di Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 4:06 PM