NATASHA dan Adrian ketika menjalani latihan di Sunway Megalanes Bowling. FOTO MUSTAFFA KAMAL
NATASHA dan Adrian ketika menjalani latihan di Sunway Megalanes Bowling. FOTO MUSTAFFA KAMAL
Nor Hairulnizam Wahid


BAGI dua atlet boling elit negara Natasha Roslan dan Adrian Ang, tiada apa yang lebih penting buat mereka selain menampilkan aksi konsisten dalam Kejohanan Piala Dunia Boling di Indonesia.

Tatkala lapan rakan lain bertungkus lumus untuk persiapan ke Sukan SEA Filipina, kedua-dua Adrian dan Natasha yang berlepas ke Indonesia hari ini, perlu fokus jika mahu mencipta kejutan dalam kejohanan yang tidak kurang pentingnya itu.

Natasha yang tampil buat kali pertama di kejohanan itu berharap dapat mencipta kejutan dalam kejohanan berkenaan memandangkan atlet wanita Malaysia belum pernah menjulang gelaran itu.

Syafiq Ridhwan Abdul Malek pernah melakar sejarah tersendiri buat Malaysia apabila meraih gelaran itu pada 2012 di Wroclaw, Poland.

“Saya harap dapat mencipta sejarah untuk menang Piala Dunia dalam percubaan pertama,” katanya.

“Venue kejohanan adalah venue Sukan Asia tahun lalu jadi saya tahu suasananya bagaimana, saya dan Adrian ada kelebihan kerana pernah ke Sukan Asia, tahu bagaimana keadaan lorong, cuma berharap tuah memihak kami.”

Adrian, dalam penampilan ketiganya selepas Venezuela (2006) dan Afrika Selatan (2011) mengakui betapa pentingnya untuk menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan berlangsung.

Jelasnya, format kejohanan itu memerlukan mereka mempamerkan aksi konsisten sepanjang kelayakan untuk menempatkan diri dalam kelompok 24 terbaik, diikuti lapan terbaik untuk mara ke final.

“Ia akan berterusan sehingga habis kejohanan jadi tidak boleh ketinggalan jauh. Maksudnya, kena terus konsisten dan tidak boleh buat banyak kesilapan,” katanya.

“Memang semua orang mahu menang tetapi saya harap apa yang saya lakukan masa latihan akan berikan tenaga positif untuk menang.”

Bagi Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok berharap kedua-dua Adrian dan Natasha mampu mempamerkan aksi terbaik mereka.

“Kedua-duanya berlatih dengan baik dan pemain paling konsisten dalam pasukan, kita harap mereka dapat memberikan yang terbaik dan menjuarainya,” katanya.

“Kejohanan ini sesuatu yang kami nantikan dan menjanjikan saingan yang mencabar.”

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 7:01 PM