JONAH Chang Rigan. FOTO AGENSI
JONAH Chang Rigan. FOTO AGENSI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang rekod kebangsaan dalam acara lontar peluru, Jonah Chang Rigan merayu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melonggarkan syarat untuk menjalani latihan dan juga menyertai kejohanan di luar negara.

Ini berikutan syarat yang ditetapkan oleh Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard yang menetapkan dia melakukan balingan 18 meter (m) terlebih dahulu sebelum dibenarkan ke luar negara.

Jonah ketika ditemui selepas menyertai Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers semalam berkata, ketika ini dia masih belum pernah mencapai balingan itu dalam latihan namun tetap akan mencuba melakukannya tahun ini.

"Saya dalam progres untuk melakukan balingan 18m itu. Saya harap MSN dan KOM akan melonggarkan sedikit syarat itu biarpun saya tahu mereka tetapkan syarat berkenaan untuk menghantar atlet yang berkualiti.

"Sebabnya saya buat rekod kebangsaan juga ketika di luar negara, keadaan cuaca, persaingan yang bagus, minda saya lebih terbuka dan boleh mendorong saya untuk buat lebih baik lagi," katanya.

Dia berkata, selain melakukan balingan 18m, misinya juga tahun ini adalah untuk meleburkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 17.67m yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lalu.

Semalam atlet kelahiran Sarawak itu merangkul emas di Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers dengan balingan 16.97m.

Dia yang mewakili Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak mengetepikan jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih perak dengan catatan 16.17m dan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Luqman Hakim Baharudin gangsa, 13.41m.

Dia turut dijadualkan bertanding di dua kejohanan luar iaitu Kejohanan Terbuka Filipina Mei depan dan All Comers Korea pada akhir Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 2:17 PM