AQIL masih teruskan latihan seperti biasa. FOTO NSTP
AQIL masih teruskan latihan seperti biasa. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Muhammad Aqil Yasmin tidak akan menjadikan alasan di buang daripada program kebangsaan untuk dia mengalah.

Malah, perkara itu membuatkan dia lagi bersemangat untuk terus berusaha melayakkan diri ke temasya Sukan SEA Vietnam Mei ini.

Jelasnya, peluang masing terbuka buat semua pelari malah biarpun tiada program, ia tidak sedikitpun melunturkan semangatnya untuk membuktikan kemampuan sebenarnya selepas ini.

"Saya masih teruskan latihan seperti biasa. Saya tidak pernah anggap tak ada dalam program saya tak boleh layak ke Sukan SEA.

"Bagi saya, bila di luar program, semangat saya semakin membara. Kita yang berada di luar program akan berusaha untuk membuktikan kemampuan sebenar.

"Tambahan pula saya baru pulih dari kecederaan selepas menjalani pembedahan pada 2020 dan sekarang ini saya dah rasa bebas dari sebarang kecederaan dan inilah masa yang tepat untuk saya bangkit kembali," katanya.

Mengakui prestasinya tidak menyerlah ketika Kejohanan Olahraga Kebangsaan Disember lalu selepas sekadar melakukan catatan masa 11.16 saat (s), Aqil berkata, dia masih mempunyai dua lagi kejohanan iaitu Perak All Comers pada Februari dan Kejohanan Terbuka Kebangsaan Mac ini sebelum senarai nama ke Sukan SEA diputuskan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Aqil antara tiga pelari pecut disamping Nixson Kennedy dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang terkena tempias tidak disambung kontrak oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Dia mula kembali menjalani latihan intensif Julai tahun lalu selepas pulih daripada pembedahan pada kaki kirinya Mac tahun lalu.

Semangat juangnya tidak pernah luntur dan dia yang mempunyai catatan terbaik peribadi 10.39 saat yang dilakukan di Sukma Perak 2018 berkata, fokus utamanya selepas ini adalah melayakkan diri ke temasya Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 8:53 PM