Poad (kanan) tidak temani Khairul Hafiz. FOTO fail HM
Poad (kanan) tidak temani Khairul Hafiz. FOTO fail HM
Mohd Khairie Khalid

KUALA LUMPUR: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan terkilan apabila jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim tidak dapat bersamanya menyertai latihan dan pertandingan di Eropah, bermula Selasa ini.

Justeru, atlet berusia 20 tahun itu berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat membantu bagi memastikan Poad dapat bersama mereka.

Selain Khairul Hafiz, antara atlet lain kendalian Mohd Poad yang terpilih ke menyertai latihan dan pertandingan di Eropah adalah Muhammad Haiqal Hanafi serta Muhammad Zulfiqar Ismail.

Turut tersenarai ialah pelari 4x100 meter (m), Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa serta ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Bagaimanapun, Badrul Hisyam Abdul Manap difahamkan tercicir daripada program yang dirangka menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang itu.

“Saya terkilan kerana jurulatih (Poad) tidak dapat bersama lebih awal. Justeru, saya harap MSN dan KOM dapat membantu menyelesaikan perkara ini.

“Bagaimanapun, ia tidak menjadi penghalang untuk saya menjalani latihan di luar negara. Saya akan jadikan ia satu cabaran dan lakukan yang terbaik walaupun tanpa jurulatih saya,” kata Khairul Hafiz ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Hafiz yang turut digelar The Speedy Jantan berharap dirinya mampu mencipta catatan lebih baik selepas ini berbanding catatan masa 10.34 saat ketika mengungguli Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA, Mac lalu.

Baru-baru ini, KOM mengesahkan akan menghantar kuartet 4x100m berlatih dan menyertai pertandingan berkualiti di Eropah termasuk beberapa siri pertandingan di Jerman, sebelum kembali ke tanah air untuk persiapan akhir Julai nanti.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim menjelaskan keputusan menghantar atlet terbabit diputuskan selepas hasrat membawa masuk jurulatih dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne I Miller ke negara ini terpaksa dibatalkan kerana ia membabitkan peruntukan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 5:55 PM