Atlet baling tukul besi, Jackie Wong. FOTO File NSTP
Atlet baling tukul besi, Jackie Wong. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong memasang impian mahu menggegarkan kembali arena sukan negara dengan mencipta lebih banyak kejayaan pada kejohanan akan datang.

Jackie yang akan menyertai Kejohanan Tertutup Olahraga Kebangsaan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, pada hujung minggu ini mahu memastikan rekod balingan miliknya iaitu 68 meter (m) dapat dikekalkan.

Katanya, walaupun kekurangan penyertaan kejohanan berikutan pandemik Covid-19 namun dia kini berada pada tahap terbaik untuk mencipta keputusan positif.

"Ini (kejohanan tertutup olahraga kebangsaan) adalah kejohanan kedua pada tahun ini, jadi saya sasarkan hanyalah mengekalkan prestasi seperti sebelum Covid-19 iaitu 68m.

"Pada masa sekarang ini lebih fokus dalam Sukan Sea tahun depan dan akan cuba sedaya upaya melayakkan diri ke Sukan Asia.

"Berkaitan dengan prestasi pula, boleh dikatakan berada pada tahap yang baik namun belum capai tahap yang diinginkan lagi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, ketika ditanya berkaitan inisiatif Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan pencapaian peringkat tertinggi membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula 2022, Jackie berkata dia akan mempamerkan aksi terbaik untuk pastikan namanya terus disenaraikan.

"Saya akan buat yang terbaik dan mahu pastikan saya masih layak lagi dalam program itu untuk tahun depan," katanya.

Mengikut rekod, pencapaian terbaik atlet berkenaan adalah berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya ketika menyertai Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Ogos 2019 dengan balingan terbaik 68.22 m.

Jackie pernah memecahkan rekod kebangsaan ketika beraksi di Terbuka Korea Selatan dan Kejuaraan Olahraga Asia pada tahun yang sama masing-masing dengan catatan 67.31m serta 67.01m.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 7:03 PM