Kuala Lumpur: Atlet lempar cakera negara Mohd Irfan Shamsuddin (gambar) berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dapat menjadi ‘orang tengah’ bagi menyelesaikan insiden pergaduhan membabitkan dirinya dengan atlet lompat tinggi negara A Kavee, Disember tahun lalu sekali gus membolehkannya beraksi di Sukan SEA Singapura, Jun depan.

Irfan ketika ini masih belum pasti lagi ke Singapura meskipun sudah layak ke temasya dwi tahunan itu selepas Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim menegaskan segala-galanya terpulang kepada laporan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung insiden di Blok Casa 2, asrama MSN, Bukit Jalil.

Karim serta Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail dijangka bertemu hari ini pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan kes pergaduhan itu antara yang dijangka dibincangkan.

“Saya rasa tidak perlulah bawa kes ini sampai ke mahkamah. Harap KOM serta MSN dapat cari jalan penyelesaian terbaik.

“Secara jujur, saya memang mahu beraksi di Sukan SEA Singapura. Bukan saja mahu mempertahankan pingat emas, tapi kalau boleh nak pecah rekod acara itu sebab rekod kejohanan ketika ini dipegang atlet Singapura,” katanya kepada Arena Metro.

Irfan antara lapan atlet negara yang sudah layak beraksi di Singapura.

Dia juga mengakui emosinya agak terganggu ketika ini, lebih-lebih lagi apabila sering kali dilihat berada di pihak bersalah dalam insiden pergaduhan itu.

“Saya kasihankan keluarga saya. Mereka berasa sedih dengan berita membabitkan saya,” katanya.

Akibat pergaduhan itu, kedua-dua atlet berkenaan disingkirkan daripada asrama MSN dengan serta merta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:16 AM