AZEEM memasang impian untuk layak ke Olimpik Paris 2024. FOTO Ihsan Instagram _azeemf
AZEEM memasang impian untuk layak ke Olimpik Paris 2024. FOTO Ihsan Instagram _azeemf
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berada di landasan yang tepat untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya seterusnya menjadi atlet negara pertama mencatatkan catatan di bawah 10 saat (s).

Azeem,19, yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat berada dalam senarai lima terbaik ketika beraksi dalam acara saringan di kejohanan Southeastern Conference (SEC) Louisiana selepas merekodkan 10.11s, merasakan bahawa dia mampu untuk melakukannya kerana masih mempunyai musim yang panjang tahun ini.

Catatan 10.11s kurang 0.02 untuk dari rekod kebangsaan miliknya 10.09s yang dicatatkan ketika di Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun di Cali, Colombia tahun lalu.

Berada di senarai teratas lima pelari terbaik adalah Bouwahjgie Nkrumie dari Jamaica 9.99s, diikuti Renan Correa dari Brazil (10.01s), Ronal Longa, Colombia (10.08s), Issamade Asinga, Surinam (10.10s) dan Azeem di kedudukan kelima (10.11s).

Kedudukan Azeem itu turut menyaksikan dia kini menghuni ranking ke-123 dunia.

"Alhamdulillah saya bersyukur dapat catatkan catatan terbaik musim ini kurang 0.02s daripada rekod kebangsaan dan ia satu petanda yang positif.

"Ia sangat bagus bagi saya sebab musim saya masih panjang dan saya lakukan catatan itu pada penggal pertama tahun ini.

"Saya rasakan saya mampu untuk memecahkan rekod kebangsaan saya dalam masa beberapa bulan lagi, Insya-Allah," katanya yang turut memasang impian untuk layak ke Olimpik Paris 2024.

Mengikut jadual, selepas aksi di Terbuka Malaysia, penuntut Universiti Auburn Alabama itu akan menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok Thailand pada Julai, Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest Hungary (Ogos) dan temasya Sukan Asia Hangzhou pada September.

Azeem sebelum ini mencatatkan masa 10.04s dengan bantuan angin 5.5s dalam saingan suku akhir divisyen satu di Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan NCAA di Florida.

Namun Azeem mengakui bahawa ketika itu dia bergelut dengan kecederaan di pangkal peha sekali gus mengganggu rentaknya untuk mencipta kejayaan positif pada kejohanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:21 PM