AZEEM memuatnaik gambar dia sudah ditandatangani oleh Universiti Auburn. FOTO IG AZEEM FAHMI
AZEEM memuatnaik gambar dia sudah ditandatangani oleh Universiti Auburn. FOTO IG AZEEM FAHMI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti, teka-teki mengenai hala tuju pelari pecut negara, Muhamad Azeem Fahmi terjawab apabila dia memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Ini bermakna, pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu akan berpangkalan di universiti berkenaan dalam memantapkan lagi lariannya.

Perkara itu dikongsi kedua-dua belah pihak di media sosial, sekali gus mengesahkan mengenai status terkini atlet kelahiran Perak itu yang sebelum ini mencipta sensasi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Colombia, Ogos lalu.

Azeem memuatnaik gambar dia sudah ditandatangani oleh Auburn yang mempertaruhkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan pemegang rekod dunia, Leroy Burrell sebagai ketua jurulatih acara olahraga dan padang.

"Dari Malaysia ke Auburn. Welcome Home Azeem," jelas Azeem di akaun Instagram (IG) bersama gambar yang memaparkan dia ditandatangani oleh Auburn.

Sementara itu di Twitter, Burrell menulis mengalu-alukan kedatangan pelari pecut berusia 18 tahun itu.

"Membawa kelajuan turun ke daratan, kerana kelajuan adalah apa yang saya lakukan," kata Burrell.

Selepas meraih keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos lalu.

Pencapaian itu menyaksikan dia menerima beberapa tawaran untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraga di AS sebelum memilih Universiti Auburn.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 10:56 AM