PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kiri) menyampaikan Insentif Pecah Rekod kepada atlet olahraga 4x100 meter negara, Shereen (tengah) pada Majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di sebuah hotel, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kiri) menyampaikan Insentif Pecah Rekod kepada atlet olahraga 4x100 meter negara, Shereen (tengah) pada Majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di sebuah hotel, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ratu trek negara dalam acara 400 meter (m), Shereen Samson Vallabouy optimis mampu layak secara merit ke temasya Olimpik Paris Julai ini sekiranya dia berjaya menutupi kelemahan yang ada.

Ketika ini pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou dengan masa 52.58s itu berkata, dia hanya kurang dari satu saat saja lagi untuk layak ke Paris.

"Jarak masa untuk layak tak jauh dan jika saya memperbaiki larian dan mempertingkatkan ketahanan, saya boleh sampai ke tahap itu dan yang lain biar Tuhan tentukan.

"Saya masih ada masa yang mana tarikh akhir untuk layak ke Olimpik adalah pada 30 Jun," katanya.

Ketika ini Shereen merekodkan masa terbaik peribadinya 51.80 saat (s) dan hanya kurang 0.85s untuk melepasi catatan masa 50.95s iaitu masa kelayakan secara merit.

Mengulas mengenai pertandingan yang akan disertai, Shereen berkata dia menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih untuk menentukan kejohanan akan datang.

"Ketika ini 'off season' dan saya akan mula sertai pertandingan pada penghujung Februari ini dan jika semua urusan visa berjalan dengan lancar, saya akan mula bertanding di Amerika Syarikat (AS).

"Saya akan cuba yang terbaik untuk mencapai misi layak ke Olimpik kerana itu adalah impian semua pelari," katanya.

Untuk rekod, Shereen, 25, kini memegang tiga rekod kebangsaan iaitu dalam acara 400m (51.80s), 200m (23.33s) dan 400m dalam dewan yang pertama dalam sejarah (53.79s).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:33 PM