NUR Shazrin (atas kiri), ARIANA Nur Dania (bawah kiri) dan NUR Aisyah antara atlet yang layak ke Paris.
NUR Shazrin (atas kiri), ARIANA Nur Dania (bawah kiri) dan NUR Aisyah antara atlet yang layak ke Paris.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Angka dan kuantiti kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 bukanlah satu keutamaan kerana yang penting adalah kualiti dimiliki atlet negara.

Malaysia dijangka menghantar barisan kontinjen paling kecil dalam tempoh 36 tahun di temasya Olimpik kali ini dengan misi utama pemburuan pingat masih disandarkan kepada atlet yang sama iaitu jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan beregu badminton lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ketua kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, berdasarkan fakta, prospek emas itu masih diletakkan di bahu Azizul dan Aaron-Wooi Yik.

Namun Hamidin tidak menolak jika ada rezeki peluang atlet lain untuk menjelmakan pingat tetap terbuka.

"Semuanya bergantung kepada rezeki, seperti di Rio (de Janeiro), jika rezeki milik kita, berkemungkinan mendapat tiga emas. Jadi, berdasarkan potensi tetap ada dan berdasarkan fakta, Azizulhasni dan Aaron-Wooi Yik boleh menyumbang (emas)" katanya.

Ketika ini hanya enam atlet sudah mengesahkan tempat, namun jumlah itu dijangka bertambah apabila tarikh akhir kelayakan akan tamat Jun ini.

Enam atlet berkenaan yang sudahpun mengesahkan tiket ke Paris iaitu atlet terjun, Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuhraya) dan yang terbaharu, Mohamad Aniq Kasdan dalam acara angkat berat.

Majlis Sukan Negara (MSN) turut meluahkan keyakinan kontinjen negara sekurang-kurangnya bakal disertai 20 ke 25 atlet yang akan beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Ini kerana beberapa sesi kelayakan masih lagi berjalan membabitkan beberapa jenis sukan seperti renang, angkat berat, badminton, golf, memanah, olahraga, ping pong yang kini dalam proses kelayakan.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, antara yang dilihat mempunyai potensi untuk layak adalah olahraga membabitkan pelari pecut, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy selain Andre Anura (lompat jauh, lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

"Untuk Azeem dan Shereen mereka boleh mendapat tempat ke Olimpik berdasarkan kelayakan wild card bagi acara 100m, 800m dan 1,500m. Namun jika Azeem layak ke Olimpik secara merit, Shereen akan dapat tempat untuk wild card kerana kedudukan dia dalam ranking masih lagi yang paling tinggi.

"Golf dan pelayaran juga kita ada peluang. Kedudukan Gavin Green, Natasha Andrea Oon dan Audrey Tan di bawah ranking 60 yang mana kita akan tahu sama ada mereka layak atau tidak pada penghujung bulan Jun ini.

"Manakala dalam acara pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy, Muhammad Fauzi Kaman Shah-Juni Karimah Noor Jamali mempunyai peluang terakhir di Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 18 hingga 27 April ini. Mungkin jumlah atlet yang boleh layak dalam 20 ke 26 atlet lagi," katanya.

Jefri berkata, kejutan mungkin berlaku dalam acara basikal trek wanita membabitkan pelumba muda negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Izzah berpotensi untuk melayakkan diri mengulangi pencapaian Fatehah Mustapa di Olimpik London 2012. Dia kini berada di kedudukan ke-14 dalam ranking Road to Paris yang mana tujuh negara sudah pun mengesahkan tempat dan tujuh lagi kini perlu bersaing untuk perebutan kuota negara.

Izzah yang akan beraksi di kejohanan Piala Negara-Negara di Milton dalam acara keirin itu bagaimanapun perlu menamatkan saingan di hadapan tiga pelumba Sepanyol, Republik Czech dan Hong Kong yang kini hanya dipisahkan oleh beberapa mata saja.

Begitupun jika mengambil kira jumlah itu, 20 atlet yang berjaya layak beraksi di Olimpik Paris kali ini, ia boleh dianggap satu kemerosotan berbanding edisi sebelum ini.

Malaysia dibarisi 30 atlet di Olimpik Tokyo 2020, 32 di Rio (2016), 29 di London (2012), 32 di Beijing (2008), 26 di Athens (2004), 40 di Sydney (2000), 35 di Atlanta (1996) dan 26 di Barcelona (1992).

Penyertaan kontinjen Malaysia paling sedikit adalah pada 1988 di Olimpik Seoul dengan hanya sembilan atlet bertanding manakala paling ramai adalah di Olimpik Tokyo 1964 dengan 62 atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:00 AM