FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

KUMPULAN MR DIY (M) Berhad (MR DIY) mempelawa rakyat Malaysia untuk mempamerkan bakat mereka dalam pertandingan Bakat Luar Biasa Malaysia dengan tawaran hadiah bernilai sehingga RM25,000.

Ketua Pemasaran Kumpulan MR DIY, Alex Goh berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan pertandingan berkenaan.

"Sama ada anda mahir dalam mengimbang objek luar biasa, menyelesaikan kiub rubik dengan mata ditutup, menebar roti canai 'terbang' atau mempamerkan kemahiran matematik, inisiatif ini menyediakan platform untuk rakyat Malaysia mempamerkan bakat luar biasa mereka.

"Ia adalah salah satu cara kami menghargai pelanggan dan meraikan kepelbagaian kemahiran dan kebolehan unik dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pertandingan itu menawarkan hadiah bernilai sehingga RM25,000 kepada 13 pemenang.

Juara akan menerima wang tunai RM10,000 sebagai hadiah utama, pemenang pertama akan memenangi wang tunai RM5,000, dan pemenang kedua akan memenangi wang tunai RM3,000. Sepuluh pemenang hadiah sagu hati akan menerima wang tunai RM700 setiap seorang. Selain itu, 50 penyertaan pertama akan diberi ganjaran baucar tunai MR DIY bernilai RM50.

Untuk mengambil bahagian, semua peserta hanya perlu merakam video yang mempamerkan bakat luar biasa mereka.

Muat naik video itu ke laman Facebook, Instagram, atau TikTok dengan hashtag #BakatLuarBiasaMalaysia dan tag @MRDIY. Pastikan akaun media sosial ditetapkan kepada umum.

Hantarkan penyertaan di https://bakatluarbiasamalaysia.mrdiy.com/ dari 7 Mei hingga 3 Jun 2024.

Video yang disenarai pendek akan dimuat naik ke laman mikro pertandingan di https://bakatluarbiasamalaysia.mrdiy.
com/, di mana penonton boleh mengundi bakat kegemaran mereka setiap hari dari 11 hingga 24 Jun 2024.

Kemudian, 13 peserta akan dipilih sebagai pemenang berdasarkan bilangan undian tertinggi, dan pemenang dengan jumlah bilangan undian tertinggi akan menerima hadiah utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:20 AM