DONALD tidak gentar ketuai skuad Eropah beraksi di AS. FOTO Agensi
DONALD tidak gentar ketuai skuad Eropah beraksi di AS. FOTO Agensi
Reuters

London: Luke Donald merancang untuk kekal mengetuai pasukan Eropah bagi mempertahankan Piala Ryder di New York pada 2025.

Donald, 45, memimpin skuad itu untuk mencapai kemenangan 16 1/2 - 11 1/2 ke atas Amerika Syarikat (AS) bulan lalu di Rom, Itali.

Pemain England itu akan menjadi ketua pasukan secara berturut-turut buat kali pertama bagi skuad Eropah sejak Bernard Gallacher melakukannya (1991, 1993 dan 1995).

Piala Ryder 2025 akan berlangsung di Bethpage Black Course di Long Island, New York.

Donald berpeluang menyertai Tony Jacklin (1985, 1987) sebagai kapten kedua yang memimpin Eropah memenangi Piala Ryder di dalam dan luar benua berkenaan.

"Peluang besar tidak datang begitu kerap dalam hidup, dan saya sangat percaya bahawa apabila ia berlaku, anda perlu meraihnya dengan kedua-dua tangan - ini adalah salah satu daripada detik ini," kata Donald.

"Saya bernasib baik sebagai pemain kerana mempunyai banyak masa yang menakjubkan dalam Piala Ryder selama ini dan untuk mengintai peluang menjadi ketua pasukan paling banyak melakarkan kemenangan.

"Piala Ryder amat bermakna bagi saya, menjadi ketua pasukan sekali lagi dan berpeluang mencipta lebih banyak sejarah dengan menjadi Kapten Eropah kedua yang menang berturut-turut adalah sesuatu yang menarik.

"Tidak ada persoalan bahawa menjadi kapten di luar Eropah adalah tugas yang sukar. Tetapi saya tidak pernah lari daripada cabaran sepanjang kerjaya saya dan perkara itulah yang mendorong saya. Saya tidak sabar untuk mendapatkan 12 lagi pemain yang kuat ke Bethpage pada 2025."

Pasukan Eropah tidak memenangi Piala Ryder di bumi AS sejak 2012 di Medinah Country Club di luar Chicago.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 12:21 PM