STRICKER pada sidang media mengumumkan pelantikannya di Milwaukee, awal pagi tadi. – FOTO AFP
STRICKER pada sidang media mengumumkan pelantikannya di Milwaukee, awal pagi tadi. – FOTO AFP
AFP

STEVE Stricker dilantik sebagai kapten pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat 2020, berazam untuk melakukan sedaya upaya membantu AS merampas semula trofi berprestij itu daripada Eropah.

Stricker, 51, muncul kapten Piala Ryder pertama AS tidak pernah memenangi kejohanan utama.

Namun pemenang 14 kejuaraan utama Tiger Woods menyokong pelantikan itu, menyatakan Stricker menjadi “pilihan majoriti” jawatankuasa pemilihan yang turut dianggotainya.

Presiden PGA Amerika, Suzy Whaley mengesahkan pelantikan itu pada sidang akhbar bersama Stricker di Milwaukee, Wisconsin – negeri kelahiran Stricker yang mana Piala Ryder 2020 akan dilangsungkan di Whistling Straits.

“Saya amat ghairah mengenai pertandingan ini,” kata Stricker penuh emosi. “Kami mahu menang kali ini lebih daripada biasa. Saya mahu membantu dengan apa cara sekalipun.”

AS dibelasah 17 1/2-10 1/2 September lalu di Perancis. Eropah menang empat daripada lima edisi terakhir kejohanan match-play berpasukan dwitahunan itu.

Stricker, yang menang tiga, kalah tujuh dan seri sekali dalam tiga penampilan Piala Ryder sebagai pemain, menjadi ahli badan bertindak pada 2014 yang berusaha menyusun semula program Piala Ryder AS dan berkhidmat sebagai naib kapten bagi tiga edisi terakhir.

Dia menjadi kapten Piala Presiden 2017 apabila tuan rumah mengatasi pasukan Antarabangsa di Liberty National.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 12:33 PM