London: Lee Westwood (gambar) percaya perjalanan kariernya berada di landasan tepat dan yakin mampu menarik perhatian Darren Clarke selepas kapten skuad Piala Ryder Eropah itu memintanya supaya bermain lebih konsisten jika mahu terpilih.

Westwood berada di kedudukan ke-50 dunia pada hujung 2015 dan minggu ini dia menduduki tangga ke-43 sebelum aksi di Kejohanan Czech Masters di Prague dan pertandingan bakal membuka peluang buatnya untuk mengumpul mata sebelum boleh dipilih ke Piala Ryder yang berlangsung di Hazeltine, Minnesota, bulan depan.

Pemain England berusia 43 tahun itu mula beraksi di Piala Ryder sejak 1997 dan dia turut berharap namanya dipilih sekali lagi untuk kejohanan berkenaan.

“Saya ada banyak berbincang dengan Darren dan dia mengingatkan saya untuk meningkatkan prestasi,” kata Westwood.

“Saya bermain baik sepanjang tahun ini. Saya menduduki tangga kedua AS Masters, menamatkan kejohanan di kelompok 10 teratas beberapa kali, bermain baik di kejohanan utama serta Terbuka AS dan saya harap persembahan sebegitu dapat dikekalkan jika saya terpilih untuk ke Piala Ryder.”

Westwood adalah antara pemain yang menduduki tangga di luar 10 terbaik yang mendapat tempat ke sesi kelayakan kejohanan menentang Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung pada 30 September.

Bagaimanapun, namanya disebut-sebut sebagai salah seorang pemain yang bakal diberikan tiket wild card oleh kapten Clarke.

Clarke memilih Westwood untuk bermain di Piala EurAsia tahun ini dan dia tidak mengecewakan apabila memenangi tiga mata ketika pasukan Eropah mengalahkan Asia 18 1/2-5 1/2 di Kuala Lumpur. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:31 AM