EXCO Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon (kanan) dan Jadish Kumar memperagakan trofi yang bakal menjadi rebutan pemain. FOTO Mohd Amin Jalil.
EXCO Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon (kanan) dan Jadish Kumar memperagakan trofi yang bakal menjadi rebutan pemain. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemenang pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, Ng Eain Yow dan S Sivasangari masing-masing bakal mengetuai cabaran Malaysia pada Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023, bermula 6 November depan.

Buat julung kalinya kejohanan berprestij berkenaan akan berlangsung di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Haji Mohd Said Seremban 2, iaitu gelanggang yang baharu dinaik taraf pada Ogos lalu.

Ketua promosi kejohanan, Jadish Kumar berkata, kedua-dua pemain skuasy kebangsaan itu sudah mengesahkan penyertaan masing-masing dan menjadi antara 48 pemain dari 20 negara, yang akan berentap pada kejohanan terbabit.

Katanya, antara pemain tempatan lain yang turut beraksi termasuk Ivan Yuen, Addeen Idrakie, C Ameeshenraj dan Mohammad Syafiq Kamal manakala pemain wanita antaranya, Aifa Azman, Rachel Arnold, Low Wee Wern, Ainaa Amani dan J Yasshmita.

"Pemain luar negara mengesahkan penyertaan termasuk Mostafa Asal berusia 20 tahun dari Mesir yang ketika ini menduduki ranking keempat dunia dalam kategori pemain muda.

"Selain itu, Karim Abdel Gawad dan Nour Al Tayeb dari Mesir; Saurav Ghosal (India), Muhammad Asim Khan (Pakistan), Ben Smith (England) dan juara remaja dunia dari Mesir, Amina Orfi.

"Kami menjangkakan kejohanan anjuran ACE Sport & Management bakal menjanjikan saingan sengit dengan kehadiran pemain ternama dunia sekali gus memberi peluang peminat skuasy tempatan menyaksikan pertembungan menarik," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 2:11 PM