AIRA akan berdepan bekas juara edisi lalu dari Mesir di final yang juga pilihan pertama kejohanan Amina Orfi. FOTO Ihsan Persekutuan Skuasy Dunia
AIRA akan berdepan bekas juara edisi lalu dari Mesir di final yang juga pilihan pertama kejohanan Amina Orfi. FOTO Ihsan Persekutuan Skuasy Dunia
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bintang muda skuasy negara, Aira Azman berada dalam kelas tersendiri apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia yang berlangsung di Melbourne, Australia.

Aira, 18, mara selepas menewaskan pemain pilihan kedua dari Mesir, Fayrouz Abouelkheir 12-10, 11-7, 11-8 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne.

"Saya bermain dengan baik hari ini dan bangga dengan aksi yang ditampilkan pada perlawanan ini.

"Kejayaan mara ke final ini sangat bermakna kerana ini tahun terakhir beraksi di peringkat ini selepas empat kali sejak 2018.

"Saya bersyukur pada penampilan terakhir ini dapat mara sehingga ke final buat pertama kali," katanya.

Menanti Aira di final esok adalah bekas juara edisi lalu dari Mesir yang juga pilihan pertama kejohanan Amina Orfi.

Pada aksi separuh akhir itu, Amina mengenepikan rakan sengara Malak Khafagy 11-5, 9-11, 11-7, 11-3 sekali gus mengesahkan slot ke final esok.

Untuk rekod, Aira adalah pemain Malaysia yang berjaya melangkah ke final kejohanan sejak legenda skuasy negara, Datuk Nicol David melakukannya pada tahun 2001.

Malah pencapaian yang turut dilakar Aira itu menyaksikan anak jati Kedah itu menjadi pemain terakhir negara layak ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan selepas menewaskan wakil Hong Kong, Leung Ka Heun 11-5, 11-7, 11-3 di peringkat 16 terbaik kelmarin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 4:29 PM