RACHEL mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Farida Mohamed.
RACHEL mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Farida Mohamed.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiga pemain negara mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Piala ACE Malaysia 2023 di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Haji Mohd Said Seremban 2, di sini, sebentar tadi.

Rachel Arnold menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan, Farida Mohamed dari Mesir, 11-8, 9-11, 11-7 dan 11-5 dalam pertembungan hampir satu jam 10 minit.

"Saya rasa agak terkejut dapat menewaskan Farida kerana diketahui dia pemain hebat dan mungkin dia tidak berada pada tahap terbaik apabila banyak melakukan kesilapan.

"Kesempatan itu saya gunakan sebaik mungkin untuk menyekat kebangkitannya terutama pada set ketiga.

"Saya sangat gembira dapat mengekalkan momentum dan memenangi perlawanan hari ini untuk meneruskan cabaran ke peringkat separuh akhir," katanya.

Rachel yang juga pilihan kelima kejohanan bakal menentang Malak Khafagy dari Mesir pada pertembungan separuh akhir, esok.

Sementara itu, S Sivasangari menepati ramalan apabila menang mudah ke atas wakil Hong Kong, Ka Yi Lee, 11-9, 11-9 dan 11-5 dalam tempoh satu jam.

Dia yang tampil selaku pilihan ketujuh menjangkakan cabaran sebenar di separuh akhir apabila bertemu pilihan pertama, Nour El Tayeb dari Mesir, esok.

Turut melangkah ke separuh akhir adalah pemain perseorangan lelaki, Ng Eain Yow yang menewaskan pemain Perancis, Sebastian Bonmalais, 11-6,11-9,11-2, untuk bertemu pilihan kedua, Karim Abdel Gawad dari Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 11:01 PM