AIRA (dua dari kanan) akan terus diuji apabila dia akan berdepan dengan jadual yang padat selepas ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
AIRA (dua dari kanan) akan terus diuji apabila dia akan berdepan dengan jadual yang padat selepas ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Sepang: Aira Azman permata baru dalam sukan skuasy dan disifatkan mampu untuk menggapai lebih banyak kejayaan apabila melalui transisi dari remaja ke skuad senior selepas ini.

Perkara itu disuarakan oleh jurulatih skuasy kebangsaan, Andrew Cross yang menyifatkan pencapaian di Melbourne sangat baik apabila Aira menamatkan kemarau 22 tahun selepas Datuk Nicol David melakukannya pada 2001.

Prestasi pemain berusia 19 tahun dianggap cukup memberangsangkan terutama apabila dia menunjukkan aksi mengagumkan di separuh akhir selepas berjaya mengejutkan pilihan kedua Mesir, Fayrouz Abouelkheir 11-5, 14-12, 11-5, namun terpaksa akur dengan kehebatan pilihan utama juga dari negara Afrika itu, Amina Orfi.

"Saya tidak nafikan dia mempunyai potensi besar dalam skuasy negara dan perjalanannya masih panjang kerana dia masih muda.

"Lihat dia kalah kepada siapa, walaupun lawannya itu berusia 16 tahun tetapi dia adalah juara bertahan. Dia (Amina) mungkin akan memenangi gelaran remaja dunia untuk dua tahun akan datang lagi.

"Tapi Aira juga sudah memberi yang terbaik terutama ketika berdepan lawan yang sukar di final," kata Andrew, ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), ketika pulang dari Melbourne.

Keupayaan Aira akan terus diuji apabila dia akan berdepan dengan jadual yang padat selepas ini terutama bakal membuat penampilan pertama di pentas Sukan Asia, Hangzhou, China September ini.

Tiada istilah rehat buat Aira yang mana dia akan turut terbabit dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan kali ke-38 bermula 2 hingga 6 Ogos ini di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Dia bersama skuad remaja yang lain kemudiannya akan berlepas ke Dalian, China untuk menyertai Kejohanan Skuasy Remaja Asia yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 20 Ogos depan.

Sementara itu mengulas mengenai prestasi pemain negara di Kejohanan Remaja dan Berpasukan Dunia di Melbourne, Andrew berkata apa yang dipamerkan oleh barisan skuasy remaja wanita negara memberi bayangan zaman permulaan era ratu skuasy negara, Nicol kembali, apabila Aira berjaya mara ke final.

"Untuk skuad wanita, memang amat membanggakan kerana dalam acara individu, kali ini ada wakil ke final, selepas lebih 20 tahun perkara ini tidak berlaku," kata Andrew.

Pasukan wanita negara terpaksa akur kepada kehebatan Mesir apabila sekadar muncul naib juara pada edisi 2017, 2019 dan 2023.

Pasukan remaja wanita belum pernah menjuarai Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia, namun dua kali memegang status juara remaja dunia dalam acara individu menerusi Nicol pada 1999 dan 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 2:55 PM