RACHEL (kanan) menjadi pemain tunggal negara mara ke final esok. FOTO ihsan PSA World Tour.
RACHEL (kanan) menjadi pemain tunggal negara mara ke final esok. FOTO ihsan PSA World Tour.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold menjadi wakil tunggal negara yang mara ke pentas final Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Haji Mohd Said Seremban 2, di sini, sebentar tadi.

Dua lagi pemain kebangsaan iaitu Ng Eain Yow dan S Sivasangari yang bersaing pada peringkat separuh akhir hari ini, gagal meneruskan cabaran selepas kecundang kepada lawan masing-masing.

Rachel meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan pemain Mesir, Malak Khafagy, 8-11, 11-7, 11-4, 6-11 dan 11-4 dalam masa 53 minit permainan.

"Walaupun tewas pada set pertama, saya bangkit meneruskan persembahan terbaik pada set berikutnya hingga mengheret kepada pertarungan lima set.

"Pada peringkat awal sememangnya Malak dilihat menguasai permainan ketika saya masih mencari rentak, tapi set berikutnya saya dapat kuasai gelanggang dengan baik walaupun sedikit tertekan selepas dia menang set keempat.

"Hakikatnya, saya tidak menjangka dapat menewaskan dia dan mara sejauh ini pada kejohanan ini, namun berasa gembira kerana menjadi wakil tunggal negara ke pentas final," katanya.

Rachel yang juga pilihan kelima kejohanan bakal menentang pilihan pertama, Nour El Tayeb dari Mesir di final, petang esok.

Nour menewaskan Sivasangari, 10-12, 11-3, 11-9, 11-6 dalam masa 45 minit permainan.

"Saya akan cuba mengekalkan persembahan terbaik dan memberikan saingan sengit terhadap Nour, walaupun tahu dia adalah pemain berprestasi tinggi.

"Saya sudah bersedia mengharungi saingan itu nanti dan berharap dapat memenanginya," kata Rachel.

Dalam pada itu, Sivasangari mengakui dia gagal menyaingi kehebatan dan kepantasan Nour sehinggal gagal melangkah ke final.

Sementara itu, Eain Yow jelas tidak berada pada tahap prestasi terbaik apabila tewas mudah kepada pilihan kedua, Karim Abdel Gawad dari Mesir, 8-11, 10-12 dan 5-11.

"Saya tidak jangka perlawanan hari ini agak sengit untuk menang.

"Karim beraksi lebih baik dan sukar bagi saya menyekat keupayaannya walaupun pada set kedua hampir menewaskannya," kata Eain Yow.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 9:38 PM