TIMBALAN Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof  (dua kanan) bergambar bersama piala kejohanan ketika Majlis Pra Pelancaran 'Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023' di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
TIMBALAN Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (dua kanan) bergambar bersama piala kejohanan ketika Majlis Pra Pelancaran 'Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023' di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Putrajaya: Ketua Sekretariat Malaysia Truly Asia (MTA), Ahmad Johanif Mohd Ali akan berbincang dengan penaja utama Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA), Maybank bagi mendapatkan slot 'Wild Card' untuk kejohanan MTA Tourism Golf Challenge.

Menurutnya, jika perkara ini dapat dilaksanakan, secara tidak langsung dapat menarik minat lebih ramai pemain golf untuk datang menyertai pertandingan berkenaan.

"Kita akan berbincang dengan Maybank untuk kita mendapatkan slot Pro Am (Profesional Malaysia) tahun depan jika dapat persetujuan, pemenang kejohanan ini (MTA Tourism Golf challenge) akan main Pro Am di Jelajah LPGA Malaysia. Dia seperti bermain 'Wild Card' di situ.

"Kalau perkara tu terjadi, ia akan dapat permintaan yang tinggi terutama dari luar negara. Kalau kata kita boleh dapat sahkan untuk slot itu, kita boleh dapat pemain dari Jepun misalnya.

"Kita akan tawarkan slot Pro Am ke Jepun kalau kita tengok, mereka hendak bermain di negara sendiri pun susah jadi bila ada peluang untuk datang main Pro Am di Malaysia, sudah pasti pertandingan ini akan di tunggu-tunggu oleh peminat golf yang mengikuti LPGA dan akan ikut serta bermain Pro Am di Malaysia. Itu strategi kita," katanya selepas majlis pra pelancaran untuk Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 di Urbanhive, Putrajaya, di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 200 peserta tempatan dan luar negara akan mengambil bahagian dalam pertandingan Malaysian Truly Asia (MTA) Tourism Golf Challenge 2023 untuk merebut ganjaran keseluruhan lebih RM500,000.

Kejohanan berkenaan bakal diadakan di Saujana Golf & Country Club (SGCC), Shah Alam pada 25 Oktober ini turut menawarkan hadiah kenderaan seperti Ducati Diavel untuk mereka yang berjaya melakukan Hole in One selain menawarkan cabutan bertuah dari nilai keseluruhannya.

Pertandingan berkenaan turut mendapat kerjasama dari 43 organisasi terkemuka sebagai rakan strategik dengan bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam industri pelancongan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 9:01 PM