JOCELYN beralih ke profesional pada Februari lalu. FOTO Bernama
JOCELYN beralih ke profesional pada Februari lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain golf wanita meningkat naik Jocelyn Chee memasang impian untuk membuat penampilan sulungnya di pentas Olimpik, iaitu pada edisi Los Angeles (LA) 2028 di California, Amerika Syarikat (AS).

"Beraksi di temasya Olimpik ialah sasaran saya dan California sangat dekat di hati kerana saya menamatkan pengajian peringkat kolej di sana," kata atlet kelahiran Kedah berusia 23 tahun, yang menamatkan Ijazah Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat di California Baptist University (CBU) tahun lepas.

Jocelyn yang mula menyertai pertandingan golf pada usia 12 tahun dan mewakili CBU dalam Divisyen 1 Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA), beralih ke profesional pada Februari lalu.

Selepas lapan kejohanan, dia berjaya meraih gelaran sulungnya apabila muncul juara kejohanan Piala Vios di Templer Park Country Club bulan lepas.

Jocelyn, yang akan menyertai Piala Supra di The Mines Resort & Golf Club pada 25 hingga 27 Julai ini mahu mengekalkan momentum kemenangan itu sekali gus meraih tiket ke kejohanan jelajah profesional utama.

"Saya akan cuba memenangi beberapa kejohanan lagi untuk mengukuhkan kedudukan keseluruhan. Mudah-mudahan ia menjadi permulaan untuk musim baharu saya tahun depan. Sekarang, saya beraksi di Thailand. Tahun depan, saya bercadang bermain di Taiwan, China dan Q-School (kelayakan untuk jelajah profesional).

"Kemudian (saya akan) mencari jalan untuk kembali ke AS. Satu impian saya ialah bermain di AS, dalam Jelajah Epson atau Jelajah Persatuan Golf Wanita Profesional (LPGA)," katanya.

Sementara itu, Piala Supra bakal menyaksikan dua beradik Gavin dan Galvin Green berentap merebut kejuaraan kerana ini adalah kali pertama Gavin beraksi di Jelajah Toyota.

Galvin yang sudah biasa dengan kejohanan itu dan menduduki tangga keenam telah meraih RM31,404 daripada empat kejohanan, sudah bersedia menghadapi cabaran.

"Kami memang ingin bermain bersama sejak dulu lagi dan kali ini berpeluang melakukannya. Ia agak menarik dan mudah-mudahan kami dapat lakukannya lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 8:16 PM