NATASHA ketika beraksi di Kejohanan Golf Maybank 2023. FOTO BERNAMA
NATASHA ketika beraksi di Kejohanan Golf Maybank 2023. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkalfi


Kuala Lumpur: Pemain golf profesional negara, Natasha Andrea Oon membuktikan dirinya antara yang terbaik apabila muncul pemain terbaik negara selepas menamatkan Kejohanan Maybank 2023 dengan berkongsi kedudukan ke-52.

Jelas Natasha, dirinya akan terus membaiki kelemahan serta akan tampil lebih baik dari sebelumnya dan dia turut teruja bermain di halaman sendiri.

"Saya harap dapat bermain dengan catatan lebih rendah lagi, tapi sejujurnya peminat di sini cukup menakjubkan kerana mereka menyokong golf wanita dan Maybank juga melakukan yang cukup hebat menganjurkan kejohanan ini.

"Ia adalah pengalaman yang cukup berharga untuk saya untuk tahun depan dan masih banyak ruang untuk saya berkembang, jadi saya perlu segera tingkatkan kualiti permainan saya untuk tahun depan," katanya.

Sepanjang empat hari kejohanan berlangsung, Natasha kekal konsisten apabila melakukan 70, 71, 73 dan 71 untuk mencatatkan keseluruhan 285 pukulan.

Di tanya apakah persembahan menyakinkan itu akan memberi keyakinan untuk dirinya memburu slot ke Olimpik Paris 2024, Natasha berharap ia akan menjadi kenyataan.

"Saya cuba untuk tidak memikirkan perkara-perkara itu ketika saya bermain golf. Tetapi, anda tahu, mudah-mudahan perkara itu akan berjalan dengan baik bagi saya. Saya sangat ingin pergi ke Paris. Saya suka Paris. Saya belum pernah ke sana," katanya.

Selain itu, pemain berusia 22 tahun itu mengakui bermain di hadapan ramai penonton menganggu serba sedikit gaya permainannya namun itu satu pengalaman baharu buat dirinya.

Untuk tahun 2024, Natasha sudah layak untuk beraksi di LPGA Tour 2024 selepas cemerlang di Jelajah Epson.

Sementara empat lagi wakil negara iaitu Jeneath Wong (amatur) berada di kedudukan ke-57, Ashley Lau di kedudukan 65, Alya Abdulghany di kedudukan 73, Jing Xuen Ng (amatur) di kedudukan ke-74 sekali gus mengejutkan bintang golf sensasi negara, Kelly Tan yang berada di kedudukan ke-75.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 7:19 PM