JOJO dapat kontrak RM472,000  daripada One Championship. FOTO FB Rentap Muay Thai Gym
JOJO dapat kontrak RM472,000 daripada One Championship. FOTO FB Rentap Muay Thai Gym
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sedia mengadakan pertemuan dengan atlet muaythai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar yang muncul atlet termuda menerima kontrak bernilai AS$100,000 (RM472,000) daripada One Championship.

Jelas Hannah, beliau sememangnya mahu bertemu secara peribadi dengan ramai atlet negara termasuk Johan dan ia sudah dilakukannya sebelum ini apabila bertemu sensasi pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi serta atlet 400 meter (m), Shereen Samson Vallabouy, yang menyaksikan kedua-dua atlet itu memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Hangzhou, baru-baru ini.

"Saya memang selalu nak jumpa atlet untuk dengar (luahan mereka). Sebab saya sudah meluangkan masa bersama Shereen, Azeem serta yang lain.

"Selepas saya dengar, kemudian saya kembali kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melihat bagaimana boleh bantu mereka. Tahniah dan syabas kepadanya (Johan)," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian saingan Jelajah Tempatan U.S Kids Golf Malaysia, hari ini.

One Championship adalah pertandingan yang mengumpul beberapa sukan pertahanan diri seperti seni bela diri campuran (MMA), tinju dan muaythai.

Johan atau nama gelarannya Jojo, muncul atlet lelaki termuda yang secara rasmi menerima kontrak daripada One Championship selepas menewaskan lawan dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam acara ONE Friday Fights 36, Jumaat lalu di Bangkok, Thailand.

Dalam pertarungan itu, JoJo yang baharu berusia 16 tahun melepaskan tumbukan bawah ke arah dada Bekmurzaev dan memenangi perlawanan itu secara knock out pada pusingan kedua.

Dia kini mempunyai rekod bersih kemenangan 4-0 sepanjang kariernya di One Championship.

Selain Bekmurzaev, lawan lain yang pernah ditumbangkan olehnya sebelum ini adalah Samurai Seopal, Tai Sor Jor Piek Uthai dan Padetsuk Fairtex, yang kesemuanya berasal dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:01 PM