JOJO (kiri) akan berdepan Duy Nhat di Bangkok pada 7 Jun depan. FOTO ONE CHAMPIONSHIP
JOJO (kiri) akan berdepan Duy Nhat di Bangkok pada 7 Jun depan. FOTO ONE CHAMPIONSHIP
Helmi Talkah


Kuala Lumpur: Bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mengintai peluang untuk mengatasi rekod masa terbaiknya dengan menyasarkan untuk menumbangkan lawannya dalam tempoh kurang dari 16 saat (s).

Johan, 18, atau dikenali Jojo berpeluang untuk cuba melakukannya apabila kembali menghangatkan gelanggang ONE Championship, 7 Jun depan.

Dia dijadual membuat perhitungan dengan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167: Stamp vs. Zamboanga di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada 7 Jun.

Ini akan menjadi pertarungan pertama Johan selepas terpaksa 'bercuti panjang' bagi memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berakhir, awal bulan ini.

Kali terakhir Johan bertarung adalah pada 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan 'knockout' (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.

Menurut Johan, misinya dalam pertarungan terbaru itu sudah pasti untuk mengekalkan rekod tanpa kalah 5-0 dalam ONE Championship yang dilakar sebelum ini.

Pada masa sama, dia mengintai peluang untuk memecahkan rekod masa 16s yang pernah dilakukannya ketika menumbangkan wakil Thailand, Padetsuk Fairtex menerusi kiraan 'knockout' (KO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 6 pada Februari tahun lalu.

Pertarungan itu adalah penampilan sulung Johan dalam ONE Championship.

"Sudah tentu setiap kali masuk ke gelanggang, sasaran saya mahu pecahkan rekod 16s itu.

"Kalau dapat buat dalam pertarungan akan datang ini dalam tempoh 15s, memang sesuatu yang menakjubkan dan puas hatilah.

"Kalau saya mahu lakukan itu, memang saya perlu terus serang tanpa henti sebaik pertarungan bermula," kata Johan ketika temu bual Eksklusif bersama BH Sukan secara atas talian, semalam.

Bagaimanapun, atlet yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu mengakui ia bukan tugas mudah untuk melakukannya berdasarkan reputasi dan pengalaman dimiliki Duy Nhat yang berusia 35 tahun.

"Sejujurnya saya dapat merasakan pertarungan kali ini tidak mudah. Saya jangkakan ia akan berakhir sehingga pusingan ketiga.

"Nguyen sudah berpengalaman dalam ONE Championship dan sudah lawan nama besar selain ada rekod yang baik.

"Apa yang saya lihat sebelum ini tendangan kepala dia sangat bagus dan pergerakan dia sangat laju.

"Jadi, ini antara perkara yang saya perlu berhati-hati, tetapi saya percaya dengan latihan dan persiapan yang betul saya boleh mengharunginya," kata Johan.

Seperti Johan, pertarungan kali ini akan menjadi aksi kompetitif pertama buat Duy Nhat yang berusia 35 tahun selepas kali terakhir turun ke gelanggang pada 8 Disember lalu.

Ketika itu, dia yang kembali ke ONE Championship selepas empat tahun terpaksa akur tewas di tangan Denis Puric dari Bosnia and Herzegovina secara KO di pusingan kedua.

Menurut Johan, meskipun dia 'bercuti' daripada pertarungan, program latihannya tetap berjalan seperti biasa sepanjang tempoh itu di bawah kendalian jurulatihnya dari Thailand, Addy Sipangyak.

"Selepas pertarungan terakhir saya, latihan berjalan seperti biasa, saya hanya cuti seminggu saja, tetapi selepas itu sudah kembali berlatih.

"Sebab itu, saya percaya dari segi persiapan tiada masalah untuk kembali bertarung pada Jun nanti.

"Cuma, pada bulan puasa ini, waktu latihan berubahlah. Saya berlatih di sebelah malam selepas solat Tarawih dan intensiti latihan pun kita kurangkan.

"Namun, selepas bulan puasa ini, intensiti latihan akan kembali ditingkatkan untuk saya buat persiapan bagi menghadapi pertarungan nanti," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.

Berbekalkan rekod kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi kiraan knockout (KO) sepanjang saingan musim lalu, Johan turut diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 8:54 PM