BARNES bakal mengendalikan perlawanan suku akhir antara New Zealand dan Ireland. FOTO Reuters
BARNES bakal mengendalikan perlawanan suku akhir antara New Zealand dan Ireland. FOTO Reuters
Reuters

Paris: Wayne Barnes, pernah diundi lelaki ketiga paling dibenci di New Zealand selepas Osama bin Laden dan Saddam Hussein, akan mengadili suku akhir Piala Dunia Ragbi hujung minggu ini antara All Blacks dan Ireland di Stade de France.

Pengadil England menimbulkan permusuhan dengan warga New Zealand di Piala Dunia pertamanya pada 2007 selepas tidak membatalkan hantaran ke depan yang menghasilkan salah satu try buat Perancis ketika menyingkirkan All Blacks di suku akhir.

Sejak insiden berkenaan peminat All Blacks sangat meluat dengan peguam berusia 44 tahun itu termasuk ketika mengadili perlawanan di Wellington tahun lalu apabila Ireland merangkul kemenangan Siri Negara Musim Luruh 2022 pertama mereka di New Zealand.

All Blacks masih merungut kerana pemain Ireland, Andrew Porter hanya dilayangkan kad kuning dalam perlawanan itu ketika bertembung dengan Brodie Retallick yang menyebabkan tonggak New Zealand mengalami patah tulang pipi.

Ia akan menjadi aksi suku akhir keempat diadili oleh Barnes, yang juga pernah mengadili kekalahan pelik Ireland kepada Perancis dan Wales di Siri Enam Negara dalam tempoh empat tahun lalu.

Suku akhir blockbuster lain di Paris hujung minggu ini antara tuan rumah, Perancis dan penyandang juara Afrika Selatan yang bakal diadili pengadil New Zealand, Ben O'Keeffe.

Pengadil Perancis, Mathieu Raynal akan mengendalikan pertembungan suku akhir England menentang Fiji di Marseille, manakala Jaco Peyper akan mengadili pertembungan Wales dan Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:42 PM