AP

Newcastle, England: New Zealand bangkit pada setengah jam terakhir untuk menewaskan Tonga 47-9 semalam namun melangkah ke suku akhir Ragbi Piala Dunia tanpa aksi cemerlang sepanjang 80 minit di peringkat kumpulan.

Tonga hanya ketinggalan 6-14 dan mencetuskan masalah buat All Blacks sebelum mencetuskan momentum apabila pemain sayap Nehe Milner-Skudder melepasi garisan pada minit ke-53 untuk try pertama daripada dua try yang dilakukannya di St James Park.

New Zealand melakukan lima try pada separuh masa kedua dan tujuh keseluruhan untuk kemenangan keempat mereka dalam Kumpulan C.

Menariknya try terakhir disempurnakan Ma’a Nonu pada penampilan ke-100 ketika menyarung jersi hitam terkenal itu.

Begitupun masih banyak ruang untuk diperbaiki juara bertahan itu selepas aksi separuh masa pertama dengan scrum dan penguasaan permainan kurang sempurna.

New Zealand juga kelihatan goyah pada ketika tertentu dalam tiga kemenangan sebelum ini ke atas Argentina, Namibia dan Georgia.

“Kami perlu bekerja keras pada peringkat kumpulan dan ia bukan sesuatu yang buruk,” kata jurulatih All Blacks, Steve Hansen.

All Blacks akan menentang sama ada Perancis atau Ireland pada suku akhir, namun Hansen tidak peduli siapa lawan mereka nanti.

“Bagaimana anda bermain ketika ini tidak penting. Apa yang berlaku sekarang tidak relevan. Apa yang berlaku minggu depan, mungkin,” kata Hansen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:03 AM