NEW ZEALAND menjadi pasukan pertama mara ke final sebanyak lima kali. -FOTO AFP
NEW ZEALAND menjadi pasukan pertama mara ke final sebanyak lima kali. -FOTO AFP
AFP

Paris: Will Jordan melakarkan hatrik try untuk membantu New Zealand menewaskan Argentina 44-6 seterusnya mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Ragbi menentang sama ada England atau juara bertahan Afrika Selatan.

Keputusan di Stade de France yang diiringi dengan hujan itu menyaksikan All Blacks menjadi pasukan pertama mara ke final Piala Dunia sebanyak lima kali.

"Ia sangat manis. Ia adalah penguasaan baharu untuk pasukan ini," kata pemain Jordie Barrett.

"Saya amat berbangga dengan pasukan ini. Ia belum selesai. Kami akan menghadapi perlawanan yang sangat sukar tanpa mengira siapa yang kami hadapi minggu depan."

Juara tiga kali itu menewaskan Ireland di suku akhir yang mendebarkan minggu lalu, mengatasi Los Pumas dengan tujuh percubaan berbalas kosong melancarkan strategi dengan bertahan sebelum menyerang.

Berdasarkan sejarah ia memihak kepada New Zealand menjelang perlawanan tu.

All Blacks memenangi 33 daripada 36 pertemuan sebelumnya antara kedua-dua pasukan dengan Los Pumas meraih dua kemenangan, dengan satu perlawanan seri.

Sekalipun Emiliano Boffelli membuka tirai jaringan buat Argentina menerusi penalti pada minit kelima, New Zealand mendominasi perlawanan sejak itu dan tidak memberikan lawannya sebarang ruang untuk bernafas.

Di sebalik keputusan itu, Argentina berjaya mengelak daripada kekalahan dengan jurang terbesar dalam separuh akhir Piala Dunia apabila All Blacks membelasah Wales 49-6 pada tahun 1987.

Jurulatih All Blacks, Ian Foster berkata pasukannya berada di tempat yang mereka mahukan.

"Ia segala-galanya. Kami hadir ke sini untuk layak ke final dan kemudian jelas mahu memenanginya. Kami mencipta peluang buat pasukan kami melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 11:32 AM