AIRA muncul juara selepas mengalahkan Ainaa 11-5, 7-11, 11-3, 11-9. FOTO Bernama
AIRA muncul juara selepas mengalahkan Ainaa 11-5, 7-11, 11-3, 11-9. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bintang muda meningkat naik Aira Azman muncul juara baharu acara wanita Kejohanan Skuasy Kebangsaan edisi ke-38 selepas menumpaskan pemain lebih berpengalaman Noor Ainaa Amani Ampandi, 3-1 hari ini.

Lebih manis buat Aira, ia adalah kemenangan sulung di kejohanan berprestij terbabit selepas empat penampilan bermula 2018.

Saingan akhir yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini menyaksikan pemain kelahiran Kedah itu menumbangkan Ainaa 11-5, 7-11, 11-3, 11-9 dalam tempoh 24 minit.

Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Aira berkata beliau tidak menyangka mampu mengatasi Ainaa yang telah menewaskan pemain pilihan pertama kejohanan Rachel Arnold semalam.

"Sangat gembira dapat memenangi kejohanan ini kerana ia adalah kejuaraan kebangsaan pertama saya, saya rasa dia bermain dengan sangat baik minggu ini, saya agak gementar untuk bermain, kerana kami telah berlatih bersama beberapa kali.

"Tetapi apabila saya sudah tahu rentak permainannya...saya bermain dengannya beberapa kali, jadi sudah tiba masanya untuk bermain lebih baik," katanya kepada kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Aira berkata kemenangan yang diraih menjadi tonik tambahan buatnya untuk menggalas cabaran negara ke Kejohanan Individu Remaja Asia yang akan berlangsung di Dalian, China pada 16 hingga 20 Ogos ini.

Sementara itu, aksi final saingan lelaki menyaksikan pilihan kedua Ivan Yuen muncul juara kali kelima selepas mengetepikan pilihan utama, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 3-1.

Yuen mengambil masa 56 minit untuk mengungguli kejuaraan dengan menundukkan Muhammad Addeen 11-6, 11-8, 6-11, 11-6.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 8:00 PM