AIRA (kanan) akur tewas kepada Amina. FOTO Agensi
AIRA (kanan) akur tewas kepada Amina. FOTO Agensi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat bintang muda skuasy negara, Aira Azman untuk meraih gelaran pertamanya di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia tidak kesampaian apabila tewas di aksi final hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne, Australia, Aira, 18, terpaksa akur tumpas kepada juara bertahan dari Mesir, Amina Orfi 8-11, 5-11, 1-11 dalam aksi yang memakan masa 31 minit.

"Perlawanan yang agak susah hari ini. Saya rasa Amina lebih padu dan bermain dengan lebih baik hari ini.

"Saya mengakui sedikit kecewa dengan kekalahan ini dan berharap selepas ini ia akan lebih baik.

"Saya juga berasakan prestasi saya semakin meningkat pada tahun ini berbanding sebelumnya," katanya.

Untuk rekod, Aira adalah pemain Malaysia yang berjaya melangkah ke final kejohanan itu sejak legenda skuasy negara, Datuk Nicol David melakukannya pada tahun 2001.

Malah pencapaian yang turut dilakar Aira itu menyaksikan anak jati Kedah itu menjadi pemain terakhir negara layak ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan selepas menewaskan wakil Hong Kong, Leung Ka Heun 11-5, 11-7, 11-3 di peringkat 16 terbaik, semalam.

"Meskipun gagal memenangi gelaran, saya bangga dapat mara ke final dan menjadi pemain Malaysia pertama yang melakukannya selepas 22 tahun sejak Datuk Nicol," tambahnya.

Aira dijangka akan kekal berada di Australia apabila dijadual mengambil bahagian dalam acara skuasy berpasukan yang akan bermula pada minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 2:32 PM