DR Asits.
DR Asits.
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan laporan mengenai kes Gastroenteritis Akut (AGE) atau cirit-birit di Penampang seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna, bagaimanapun berkata kes AGE yang dikesan di daerah itu berdasarkan survelan atau pemantauan pada Minggu Epid 24/2024 adalah bersifat sporadik dan tiada wabak dikesan.

"JKNS ingin memaklumkan bahawa survelan (pemantauan) AGE oleh Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Penampang pada Minggu Epid (ME) 24/2024 mendapati kes AGE sedikit melepasi paras bertindak yang ditetapkan.

"Oleh yang demikian, PKK Penampang mengeluarkan surat dalaman untuk meningkatkan langkah kawalan. Taburan kes AGE yang dilaporkan adalah bersifat sporadik dan tiada wabak AGE yang dikesan.

"Survelan seterusnya pada ME 25/2024 menunjukkan kes AGE berada di bawah paras berhati-hati," katanya.

Katanya, JKNS dengan kerjasama PKK Penampang akan terus memantau situasi AGE di daerah itu melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan daerah Penampang.

"JKNS juga akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa," katanya.

Dr Asits berkata, kes AGE adalah keadaan yang mana individu mengalami cirit-birit lebih daripada tiga kali dalam tempoh 24 jam dengan atau tanpa mengalami gejala lain seperti muntah, demam dan sakit perut.

Katanya, ia boleh disebabkan jangkitan virus, bakteria atau parasit yang mana jika seseorang itu mengalami cirit-birit yang teruk, ia boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi.

"Sebagai pencegahan, JKNS menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan, menggunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang dimasak.

"Sekiranya menggunakan alat penapis air, pastikan ia diselenggara secara berkala dengan baik, masak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna," katanya.

Sebelum ini, tular surat dikeluarkan PKK kepada klinik kerajaan dan swasta di Penampang meminta mereka membuat laporan jika mengesan ada kes AGE di klinik masing-masing, selain melaksanakan promosi kesihatan berkaitan langkah pencegahan jangkitan berkenaan.

Susulan itu, kempen pencegahan kes AGE turut diperluaskan termasuk di sekolah dengan menasihatkan murid dan pelajar supaya berjaga-jaga terutama mengenai air minuman.

Sebelum ini, JKNS turut mengesahkan berlaku kes AGE di daerah Tenom membabitkan satu wabak dengan lebih 190 kes pada awal bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 4:43 PM