HARIMAU belang jantan yang berjaya diperangkap selepas mengganas di Sungai Siput, Perak. FOTO Ihsan Perhilitan
HARIMAU belang jantan yang berjaya diperangkap selepas mengganas di Sungai Siput, Perak. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Kejadian gangguan harimau belang di Jalong, Sungai Siput, Perak, sejak awal Jun lalu berakhir apabila seekor harimau belang jantan berjaya ditangkap tadi.

Harimau belang dewasa itu berjaya diperangkap kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia yang memasang perangkap khas di Ladang Santani, Jalong, Sungai Siput.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihak Jabatan Perhilitan daerah Sungai Siput menerima aduan berhubung kejayaan memerangkap harimau itu pada jam 1.30 petang tadi.

Menurutnya, perangkap itu mula dipasang anggotanya pada 20 Jun lalu.

"Ia susulan aduan penduduk berhubung serangan harimau belang ke atas tiga ekor kambing dan seekor anjing peliharaan penduduk di ladang berkenaan pada 9 Jun 2024.

"Susulan itu kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai bertindak melakukan operasi pemindahan haiwan liar itu ke NWRC untuk tindakan lanjut.

"Pemantauan di lokasi turut dilakukan kakitangan Perhilitan dan Unit Konservasi Harimau Negeri Perak bagi memastikan tiada lagi ancaman oleh haiwan buas itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 5:21 PM