KALAMULLAH masih belum dibolosi selepas tiga perlawanan.
KALAMULLAH masih belum dibolosi selepas tiga perlawanan.
Izzali Ismail

Alor Setar: Penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz bertekad memastikan gawang Sang Kenari terus kebal pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Dia yang bertindak cemerlang pada aksi kemenangan 1-0 ke atas skuad Harimau Kumbang dalam saingan suku akhir pertama Piala FA pada 28 Jun lalu mahu kekal fokus dalam meneruskan momentum untuk memastikan Sang Kenari layak ke saingan separuh akhir Piala FA musim ini.

Rekod tanpa bolos Kalamullah adalah kali ketiga berturut-turut selepas Kedah mencatat kemenangan 5-0 ke atas Bukit Tambun FC pada 14 Jun dan Penang FC (1-0) pada saingan Liga Super pada 22 Jun lalu.

"Selepas mencapai sasaran tanpa bolos pada aksi suku akhir pertama menentang Penang FC yang lalu, saya mahu teruskan fokus utama saya dengan meneruskan momentum terbaik bagi memastikan kami tidak dibolosi dan seterusnya mahu layak ke saingan separuh akhir seperti yang disasarkan.

"Kekuatan serangan dan ancaman daripada pihak lawan semestinya menjadi cabaran utama buat saya dan barisan pertahanan bagi memastikan kami terus tidak dibolosi dalam misi penting di laman sendiri kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 4:47 PM