AIRA tidak jangka untuk mara ke final. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
AIRA tidak jangka untuk mara ke final. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Naib juara kejohanan skuasy remaja dunia, Aira Azman bakal membuat perhitungan bersama Ainaa Amani Ampandi bagi merebut gelaran juara Divisyen Premier Wanita Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM kali ke 38.

Ainaa mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan pertama kejohanan, Rachel Arnold dalam aksi separuh akhir yang sengit berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Pemain berusia 21 itu ketinggalan di dua set pertama sebelum melakar kebangkitan untuk menempah slot ke final selepas berjaya menumbangkan Rachel dengan keputusan 9-11, 2-11, 11-4, 11-6, 11-7 dalam tempoh 34 minit.

"Rachel seorang pemain yang mempunyai tempo yang laju, jadi saya cuba untuk cuba menukar strategi permainan, jadi percaturan saya itu berjaya.

"Berdepan Aira, walaupun dia pemain muda, tetapi rankingnya adalah jauh lebih tinggi daripada saya, tetapi saya akan cuba untuk memberikan tentangan yang sengit untuknya," jelas Ainaa.

Dalam satu lagi perlawanan, naib juara remaja dunia, Aira turut berjaya melangkah ke final selepas mudah mengatasi Yee Xin Ying dengan keputusan 11-9, 11-1, 11-2 dalam tempoh 14 minit.

"Sebenarnya saya tidak jangka untuk mara ke final kerana saya baru sahaja balik dari Melbourne beraksi di Kejohanan Remaja Dunia, tambahan badan saya masih penat dengan jadual, hanya mahu melakukan yang terbaik.

"Jadi esok adalah perlawanan terakhir, saya akan keluarkan semua yang ada untuk cuba mendapatkan gelaran juara," jelas Aira.

Sementara itu dalam saingan Divisyen Premier lelaki, pilihan pertama, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar bakal berdepan Ivan Yuen yang juga pilihan kedua.

Ini adalah final Addeen di pentas kejohanan kebangsaan selepas menumpaskan Ong Sai Hung 9-11, 11-5, 11-7, 11-7.

Bagi Ivan pula, dia dipaksa bekerja ketika menentang pemain muda, C Ameeshenraj sebelum mengesahkan tempat ke final dengan keputusan 17-15, 11-8, 11-13, 11-6.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 5:36 PM