AINAA berjaya mengatasi pemain Jerman, Katerina dalam aksi final di Birmingham. FOTO Ihsan Squashsite
AINAA berjaya mengatasi pemain Jerman, Katerina dalam aksi final di Birmingham. FOTO Ihsan Squashsite
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Arena skuasy negara menempa sejarah buat kali pertama apabila seramai lapan pemain berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Skuasy Dunia.

Ia adalah jumlah penyertaan terbesar membabitkan pemain negara ke kejohanan berkenaan.

Ia pasti menjadi detik yang tidak dapat dilupakan buat trio wanita negara membabitkan Aira Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi dan Yasshmita Jadishkumar yang mempamerkan aksi mantap ketika menyertai kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia untuk menempah tiket sulung mereka ke pertandingan dunia.

Kejohanan Dunia bakal diadakan di Chicago dari 3 Mei hingga 11 Mei menganjurkan kejohanan kelayakan menawarkan 12 tempat - masing-masing enam untuk lelaki dan wanita.

Ainaa, 21, berada dalam prestasi terbaik apabila meraih dua gelaran berturut-turut dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), menjadi atlet negara pertama berjaya layak selepas menang 6-11, 11-5, 11-9, 11-6 mengatasi pemain Jerman, Katerina Tycova dalam aksi final di Birmingham.

"Ia satu perasaan yang luar biasa kerana saya datang ke sini tanpa sebarang tekanan kerana mengetahui bahawa saya perlu menentang salah seorang pemain pilihan.

"Ini adalah kali pertama saya bertanding di pusingan kelayakan dan ia satu yang hebat apabila berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia buat kali pertama," katanya.

Mengikuti jejak Ainaa adalah pemain di ranking ke-67 dunia, Aira yang menepati ramalan untuk menempah satu lagi tiket ke Kejohanan Dunia.

Aira yang menjadi pilihan ketiga pada acara kelayakan, menewaskan pemain Australia, Alex Haydon 11-6, 11-3, 11-8 pada separuh akhir sebelum mengatasi pemain Mesir, Menna Hamed 11-8, 11-6, 11-4 dalam perlawanan akhir.

Manakala Yasshmita melakar kejutan untuk layak selepas menewaskan pemain senior, Chan Yiwen 8-11, 7-11, 11-8, 11-9, 11-6 pada perlawanan akhir.

Kejayaan itu menyaksikan mereka akan mengibarkan cabaran bersama-sama pemain senior yang sudah pun mengesahkan tempat berdasarkan ranking dunia iaitu pemain ke-23 dunia S Sivasangari, Rachel Arnold (25) dan Aifa Azman (26).

Manakala dalam acara lelaki Ivan Yuen akan menyertai rakan senegara yang juga pemain ke-21 dunia Ng Eain Yow dalam undian utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 2:55 PM