ANTARA mangsa banjir sekitar Putatan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan. FOTO Mohd Adam Arinin
ANTARA mangsa banjir sekitar Putatan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Tiga daripada empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah ditutup petang ini selepas situasi banjir di kawasan yang terjejas pulih sepenuhnya.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat jam 4 petang hanya 272 mangsa banjir daripada 90 keluarga masih berada di PPS Dewan Kebudayaan Sabah di Penampang.

"Tiga daripada PPS yang diaktifkan di daerah terjejas banjir di Sabah sudah ditutup iaitu Dewan Sri Putatan di Putatan, Balai Raya Kampung Tutu Selupoh di Tuaran dan Balai Raya Kampung Bontoi di Tamparuli.

"PPS terbabit ditutup bermula jam 2 hingga 3 petang tadi dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Setakat tengah hari tadi, PPS Dewan Sri Putatan menempatkan seramai 138 mangsa, manakala PPS Balai Raya Tutu Selupoh dan Balai Raya Kampung Bontoi, masing-masing 33 mangsa dan 18 mangsa.

Secara keseluruhan, empat PPS yang dibuka berikutan banjir sejak petang Ahad lalu menempatkan seramai 503 mangsa banjir daripada 145 keluarga.

Bagaimanapun, beberapa mangsa ada yang dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing sejak semalam selepas situasi banjir di kawasan mereka disahkan pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 5:14 PM