KONTINJEN Selangor meraikan kejayaan bergelar juara keseluruhan. FOTO IZZALI ISMAIL
KONTINJEN Selangor meraikan kejayaan bergelar juara keseluruhan. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Sepaktakraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 yang berakhir di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), semalam.

Kejohanan yang bermula sejak 26 Ogos lalu mempertandingkan acara regu, beregu dan berpasukan Bawah 12 Tahun (B-12), B-15 dan B-18.

Kejayaan Selangor itu hadir selepas mereka mengumpul 195 mata sekali gus mengatasi pasukan Kelantan di tangga kedua (156 mata) dan Perak (143 mata).

Kutipan mata kontinjen Selangor itu disumbangkan skuad B-12 yang menjuarai acara berpasukan dan regu, manakala B-15 mereka muncul naib juara kedua-dua acara berkenaan.

Skuad B-18 Merah Kuning turut tidak ketinggalan menyumbang mata apabila muncul naib johan acara beregu.

Malah, dua pemain B-12 mereka, Wan Muhammad Azieq Wan Mohd Zaki dan Mohammad Kamarul Nasri Mohammad Kamarul Imran, masing-masing dipilih sebagai apit kanan serta tekong terbaik.

Pengurus pasukan Selangor, Hairulsam Basri berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan itu sekali gus mengulangi pencapaian 2018 dan 2019.

"Alhamdulillah, tahun ini kami kembali menjadi juara. Ini semua hasil komitmen semua dan berharap kejayaan ini dapat dikekalkan tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 2:30 PM