SIRIWAT sedar Malaysia adalah lawan paling sukar untuk Thailand. FOTO AMIRUL FAZLI ZULKAFLI
SIRIWAT sedar Malaysia adalah lawan paling sukar untuk Thailand. FOTO AMIRUL FAZLI ZULKAFLI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pasukan gergasi sepak takraw, Thailand memberi amaran awal kepada tuan rumah, Malaysia bahawa mereka datang dengan harapan begitu tinggi iaitu ingin membolot kesemua kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula hari ini hingga 26 Mei.

Menurut tekong Thailand, Siriwat Sakha, meskipun mereka menampil sebahagian pemain baharu namun itu bukan halangan untuk pasukannya membawa pulang kejuaraan dalam kesemua kategori biarpun menyedari Malaysia adalah musuh tradisi dan lawan yang sukar.

Tambah pemain berpengalaman itu, pasukan mereka juga menaruhkan enam pemain berpengalaman dan enam pemain baharu yang sudah pasti pasti akan membantu Thailand memegang takhta raja sepak takraw dalam acara regu, berpasukan termasuk double.

"Saya amat bersemangat dan gembira apabila tiba di Malaysia. Ini adalah Piala Dunia kedua saya dan saya akan memberikan yang terbaik. Kami sedar Malaysia adalah lawan paling sukar untuk Thailand tetapi kami akan cuba sebaiknya memenangi semua tiga acara.

"Saya yakin dengan kehadiran muka-muka baharu yang berbakat dan berpengalaman menyertai kejohanan-kejohanan kompetitif tempatan pasti boleh membantu Thailand untuk muncul juara," katanya selepas Perasmian Piala Dunia Sepaktakraw Istaf di ibu negara.

Thailand dan Malaysia bernasib baik apabila undian awal dalam ketiga-ketiga kategori itu dijangkakan mereka tidak akan bertemu awal dan hanya akan berjumpa di final sekiranya kedua-dua pasukan melepasi halangan masing-masing.

Dalam acara regu, skuad negara diundi dalam kumpulan B bersama China dan Brunei manakala Thailand dalam kumpulan A bersama Vietnam dan Indonesia.

Sementara dalam acara berpasukan, Malaysia dalam kumpulan C bersama Jepun dan Brunei manakala Thailand dalam kumpulan B bersama India dan China.

Manakala untuk acara dounle Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunie dan Thailand pula di Kumpulan D bersama Singapura serta Korea Selatan.

Untuk makluman, dalam kejohanan berkenaan juga pihak tuan rumah tidak menghalang mana-mana negara seperti kejonana sebelum ini sebaliknya membuka peluang setiap pasukan untuk menghantar penyertaan dalam ketiga-ketiga acara.

Selain itu, kejohanan kali ini juga memperlihatkan beberapa pembaharuan antaranya kiraan 15 mata dengan satu servis selain, mata ranking akan diperkenal mengikut kedudukan pasukan di Piala Dunia ini.

Sebanyak 21 negara bakal bersaing di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 ini dengan babitkan kategori Premier untuk acara berpasukan yang mempunyai Piala Khas, selain acara beregu dan regu turut dipertandingkan.

Untuk Premier ada 12 negara iaitu Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina.

Manakala saingan divisyen 1 pula menyaksikan sembilan negara bertanding iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 5:29 PM