JONAS mencuba nasib di perairan terbuka, yang lebih memberi penekanan kepada kekuatan mental dan daya ketahanan. FOTO Ihsan penganjur NX113
JONAS mencuba nasib di perairan terbuka, yang lebih memberi penekanan kepada kekuatan mental dan daya ketahanan. FOTO Ihsan penganjur NX113

Kuala Lumpur: Perenang muda, Jonas Lau jelas berada pada landasan terbaik untuk mencapai cita-citanya mewakili negara pada temasya Sukan Sea 2025 di Thailand apabila dia mengungguli NX113 Cabaran Renang Perairan Terbuka Melaka yang berlangsung di Encore Melaka pada Ahad.

Anak kelahiran Sarawak yang baru berusia 15 tahun itu muncul juara keseluruhan perlumbaan 5 kilometer (km) dengan catatan masa satu jam, lapan minit dan sembilan saat (1:08:09s), jauh mengatasi pencabar terdekatnya Jose Louis Larrosa dari Sepanyol (1:14:54s).

Seorang lagi peserta tempatan, Adrian Tam meraih tempat ketiga selepas tiba di garis penamat dengan catatan 1:49:36.

Jonas memberitahu kejayaan itu membuktikan bahawa keputusannya untuk beralih daripada disiplin kolam ke perairan terbuka tahun lalu sebagai tepat.

"Saya tidak begitu menyerlah dalam acara kolam. Tubuh badan saya agak kecil dan rendah jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing yang sebaya dengan saya, jadi agak sukar untuk saya menyaingi mereka di kolam. Sebab itulah saya mencuba nasib di perairan terbuka, yang lebih memberi penekanan kepada kekuatan mental dan daya ketahanan," kata Jonas.

"Setakat ini agak bagus. Tahun lepas saya pun ada memenangi beberapa kejohanan dan baru pada bulan lalu saya berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori usia 16-17 dan kelima keseluruhan di Oceanman Bali.

"Kesemua pencapaian pada peringkat permulaan banyak menyuntik semangat saya untuk buat lebih baik lagi. Impian saya adalah mengikut jejak langkah rakan senegeri saya Heidi Gan (dua kali Olimpian di London 2012 dan Rio 2016) beraksi di temasya Olimpik.

"Namun, terlebih dahulu, saya berharap dapat dipilih mewakili negara pada Sukan Sea 2025 kerana acara renang perairan terbuka akan dipertandingkan semula (tiada dalam program edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023)."

Sementara itu, turut berlangsung pada hari yang sama ialah NX113 Triatlon Melaka yang menyaksikan Ng Han Yang dan Dhanealakshmi Selvadurai dinobatkan selaku juara remaja lelaki dan wanita kebangsaan.

Untuk kejohanan ini, pihak penganjur telah diberi tauliah oleh Malaysia Triatlon untuk menjadikan saingan Super Sprint (merangkumi renangan 300m-berbasikal 10km-larian 2km) sebagai pentas menentukan atlet bawah-15 tahun terbaik negara.

Han Yang, 13, cemerlang menawan kedudukan teratas dengan rekod masa 34:41.07s diikuti naib juara Thye Ju Quan (36:03.0s) dan Lai Xuan Er di tempat ketiga (36:13.3s).

Dhanealakshmi pula gah menguasai saingan wanita dengan mencatatkan 40:46.7s, meninggalkan Siti Aisyah Mohd Azizi (40:55.1s) dan Loo Ay Ron (42:18.1s) di tempat kedua dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:20 PM