ACARA ini berjaya menarik penyertaan daripada beberapa buah negara lain termasuk Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan Thailand. FOTO Ihsan penganjur
ACARA ini berjaya menarik penyertaan daripada beberapa buah negara lain termasuk Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan Thailand. FOTO Ihsan penganjur

Putrajaya: Tasik Putrajaya bakal menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa sekali lagi, kali ini dengan Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 pada 2 Jun ini.

Dikelolakan oleh Hammersmith (M) Sdn Bhd dengan kerjasama ASEANHUB Sdn Bhd, acara yang julung kali diadakan ini akan berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya (KOSA), menjanjikan pemandangan indah dengan latar belakang bangunan-bangunan pusat pentadbiran kerajaan yang pasti memukau bukan sahaja para pesertanya, malahan mereka yang hadir untuk menonton.

Kejohanan ini mendapat sanksi daripada Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur selain turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, acara ini berjaya menarik penyertaan daripada beberapa buah negara lain termasuk Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan Thailand.

Enam kategori yang dipertandingkan merangkumi lelaki dan wanita 5 kilometer (km), lelaki dan wanita 1.5km serta lelaki dan wanita 400 meter (m), sesuai untuk disertai oleh para perenang dari pelbagai peringkat.

Cabaran Malaysia akan diketuai oleh Chelsea Ning Lee, yang juga antara atlet renang perairan terbuka utama negara.

Chelsea pada Jun tahun lalu melakar sejarah menjadi wanita Malaysia pertama untuk melengkapkan renangan ultra maraton sepanjang 33km di Perancis.

Dia yang baru berusia 19 tahun itu menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan dengan catatan masa memberangsangkan iaitu tujuh jam, 26 minit dan 48 saat di Le Flow Des Gabarriers.

Chelsea juga baharu sahaja pada Mei 16 lalu membanggakan Malaysia apabila menjuarai kategori Bawah 16-19 di kejohanan 3.8KM Middle Island Challenge di Hong Kong.

Dia menghabiskan perlumbaan dengan rekod 56 minit dan 12 saat (s), sekali gus menempatkannya di tempat ketiga keseluruhan.

Chelsea memiliki cita-cita untuk mewakili negara di temasya Sukan Olimpik suatu hari nanti dan kehadirannya semestinya akan memberi inspirasi kepada ramai, terutamanya muka baharu, untuk cemerlang dalam sukan ini.

Pengerusi Hammersmith (M) Sdn Bhd Barry Lee berkata: "Kami teruja untuk menganjurkan Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 untuk kali pertama. Tujuan utama kami mengadakan acara ini adalah untuk mempromosikan sukan renang perairan terbuka kepada orang ramai, justeru mempertandingkan acara berjarak pendek dan sederhana seperti 400m dan 1.5km.

"Orang ramai, terutamanya peserta kali pertama, bolehlah beraksi dengan hati yang tenang dalam persekitaran yang selamat.

"Aspek keselamatan adalah menjadi keutamaan kami. Kami telah mengambil segala langkah untuk memastikan tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi.

"Menerusi kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, kami berharap acara ini dapat memupuk minat orang ramai dan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan. Mudah-mudahan, negara ini akan melahirkan lebih ramai jaguh perenang perairan terbuka kelak."

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur Mae Chen berkata: "Penganjuran Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 memberi kesempatan untuk sukan mendapat pendedahan sebaiknya, lebih-lebih lagi ia adalah acara di temasya Olimpik.

"Kami mengharapkan kejohanan ini akan menjadi medan untuk para perenang mempamerkan kehebatan masing-masing dan bersaing sesama mereka dalam persekitaran yang selamat.

"Sukan renang perairan terbuka sebenarnya telah menjadi popular selepas Heidi Gan meraih pingat emas berganda 5km dan 10km di Sukan Sea Indonesia pada 2011. Heidi juga telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali.

"Kami merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pemegang taruh, termasuk KBS, penaja venue Perbadanan Putrajaya, Hammersmith (M) Sdn Bhd dan lain-lain penaja yang menyokong dan bersama-sama menjayakan acara julung kali ini."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:40 PM