SUKAN aquathlon semakin mendapat tempat di Malaysia. FOTO  Neptune X113
SUKAN aquathlon semakin mendapat tempat di Malaysia. FOTO Neptune X113
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejohanan NeptuneX113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113 Aquathlon) yang bakal berlangsung di Tasik Putrajaya pada 4 Februari depan akan menjadi medan buat atlet sukan multidisiplin merebut tempat mewakili negara pada Sukan Sea di Kemboja pada Mei tahun depan.

Presiden Persatuan Triathlon Malaysia (MTA), Tony Tan, beliau mengharapkan agar penganjuran NX113 Aquathlon bersempena Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) akan dapat menaikkan profil sukan aquathlon di negara ini.

"Di Malaysia, aquathlon memang sentiasa dibayangi kedua-dua 'abangnya' iaitu triathlon dan duathlon (berbasikal dan larian) selama ini. Jadi, kami amat mengharapkan melalui penganjuran NX113 Aquathlon bersempena SEAOWSC akan sedikit sebanyak meningkatkan populariti sukan ini di negara ini.

"Sebagai mempromosikan sukan ini, maka kami cadangkan supaya NX113 Aquathlon dijadikan sebagai perlumbaan kelayakan bagi Sukan SEA. Proses kelayakan mengambil kira catatan masa semua peserta dan adalah tertakluk kepada segala kriteria ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perlumbaan NX113 Aquathlon, Andy Foo berkata pihaknya komited untuk menganjurkan satu perlumbaan kompetitif dan selamat.

"Dengan penganjuran NX113 Aquathlon dilakukan serentak dengan SEAOWSC di venue tersohor Tasik Putrajaya, kami yakin dapat membawakan satu pertandingan lebih besar, bagus dan selamat untuk semua peserta.

"Ini satu permulaan baik untuk sukan aquathlon yang mempunyai potensi begitu besar untuk diperkembangkan," katanya.

Sukan aquathlon yang membabitkan disiplin larian dan renang, akan dipertandingkan buat kali pertama apabila temasya sukan dwitahunan itu kembali untuk edisi ke-32 dari 5 hingga 17 Mei depan.

Penganjur Hybrid Management Sdn Bhd mengambil kesempatan ini untuk mengelolakan NX113 Aquathlon seiring dengan edisi sulung SEAOWSC yang akan berlangsung dari 2-4 Februari di venue yang sama.

Dengan pengiktirafan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) NX113 Aquathlon diperakui sebagai medan pemilihan atlet ke Sukan Sea.

Atlet yang memasang cita-cita besar beraksi di pentas Sukan Sea tidak boleh melepaskan peluang terbaik ini dengan menguji kehebatan diri masing-masing dalam kategori Elit NX113 Aquathlon, di mana para perserta perlu berenang sejauh 500 meter dan disusuli larian 2.5 kilometer.

Tiga lagi kategori lain dipertandingkan adalah Standard (renangan 1.5km renang/larian 10km), Pecut (renangan 750m/larian 5km) serta Super Sprint (renangan 500m/larian 2.5km), yang mempertandingkan jarak sama dengan Elit.

Atlet yang ingin memburu tempat ke Sukan Sea melalui kategori Elit haruslah mengemukakan permohonan kepada Persatuan Triathlon Negeri masing-masing terlebih dahulu.

Hanya individu berdaftar dengan Persatuan Triathlon Negeri akan dipertimbangkan untuk kelayakkan Sukan Sea.

Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam NX113 Aquathlon bolehlah mendaftar menerusi [email protected].

Penyertaan telah pun dibuka sejak 16 Disember, 2022 dan akan ditutup 15 Januari, 2023. Tawaran yuran penyertaan awal pada RM150 untuk kategori Elite/Super Sprint, Standard (RM290) dan Sprint (RM220) adalah sah sehingga 31 Disember, 2022.

Selepas itu, yuran penyertaan biasa ditetapkan pada harga RM180 bagi Elite/Super Sprint, Standard (RM320) dan Sprint (RM250).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 3:59 PM